FATIN berpotensi membawa pulang dua pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 di Bangkok esok (27 Mac).
LAYAK dua aksi final Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 boleh dianggap sebagai pelengkap Syawal yang sempurna buat pemanah berpengalaman negara, Dr. Fatin Nurfatehah Mat Saleh.
Biar apa pun keputusan di final esok (27 Mac), Fatin secara keseluruhan akan membawa pulang tiga pingat termasuk gangsa compound berpasukan wanita dimenangi semalam (25 Mac).
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut mencipta dua rekod baharu kebangsaan pada saingan di bumi Bangkok, Thailand.
“Sejujurnya tak terfikir pun masuk final untuk dua acara ini. Saya fikir saya tiada apa-apa nak dirugikan, beri prestasi terbaik dan nikmati final nanti.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Dulu 2023 pernah menang pingat (gangsa berpasukan campuran) di Piala Dunia, Antalya (Turkiye) masa awal Syawal juga, boleh kata ini adalah Syawal terindah saya,” kata Fatin kepada Podium On Tour.
Fatin akan bergandingan dengan Mohd. Juwaidi Mazuki, menentang pilihan pertama dari India, Chikitha Taniparthi-Rajat Chauhan pada aksi final compound berpasukan campuran esok.
Sejam kemudian, Fatin akan membuat perhitungan dengan atlet neutral kelahiran Rusia berusia 21 tahun, Arina Cherkezova pada aksi final compound individu wanita.
“Selain Sukan SEA, ini adalah kejohanan paling banyak saya menang pingat. Alhamdulillah untuk segalanya,” jelas Fatin yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di UPSI sejak 2021. – PODIUM ON TOUR
Fatin/Juwaidi
Compound Berpasukan Campuran
Pusingan 1/8
Bye
Pusingan 1/4
VS Zhou Siyu/Zhang Zilei 155-144
Pusingan 1/2
VS Madeleine Xue Li/Erwan Zulfaqar Salamat 154-152