IZZATUL MUSFIRAH antara calon utama untuk memenangi pingat emas berganda 100m dan 200m pada Sukma Selangor tahun ini. - UNIT SUKAN TERENGGANU
PERMATA olahraga negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira merakam sejarah apabila memperoleh keputusan cemerlang ‘Straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini (31 Mac).
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu itu mencatat keputusan cemerlang 9A SPM 2025, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat diri, keluarga dan negara.
Malah, ia menjadi inspirasi kepada generasi muda dan membuktikan status sebagai atlet bukan penghalang untuk berjaya dalam pelajaran.
Menerusi perkongsian daripada Olahraga Malaysia, Izzatul Musfirah, 18, masih lagi berbincang dengan ahli keluarganya mengenai pemilihan terbaik untuk dia melanjutkan pengajian seterusnya.
“Saya peroleh Straight A, keputusan yang sangat menggembirakan, saya sangat bersyukur. Saya tahu betapa sukarnya perjalanan untuk peroleh keputusan ini sebab saya perlu seimbangkan dengan sukan.
“Buat masa sekarang saya masih berbincang dengan keluarga, orang terdekat untuk teliti apa pilihan terbaik saya selepas ini tanpa melupakan karier saya sebagai atlet negeri dan negara.
“Saya berjaya buktikan bahawa akademik dan sukan mampu seiring. Dua-dua bidang ini mampu kita peroleh kejayaan gemilang,” katanya.
Tahun lalu, Izzatul Musfirah mencipta sensasi sebagai atlet pertama memenangi empat pingat emas dengan kesemuanya menerusi rekod baharu pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 bawah 18 tahun (B18).
Pencapaian gemilang itu menyaksikan dia dinobatkan Olahragawati MSSM B18, sekali gus melengkapkan gelaran selepas pernah diangkat Olahragawati B15 MSSM 2023.
Kini, Izzatul Musfirah hampir pasti menjadi calon utama untuk meraih satu lagi gelaran besar sebagai ratu pecut berganda Sukan Malaysia (Sukma) Selangor tahun ini. – PODIUM ON TOUR
PB Izzatul Musfirah
100m – 11.84s
200m – 24.24s
KREDIT FOTO – UNIT SUKAN TERENGGANU