ANTARA barisan pemain pada majlis penyerahan replika cek dan sidang media kejohanan baru-baru ini. - SRAFTKL
PERSATUAN Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) meneruskan inisiatif demi pembangunan sukan itu dengan menganjurkan edisi kedua Terbuka Remaja SRAFTKL dalam usaha mencari ‘The Next Nicol David’.
Apa yang menarik adalah kejohanan selama enam hari bermula 31 Mac hingga 5 April itu telah dinaik taraf daripada kategori perak kepada acara bertaraf emas dalam kalendar Skuasy Remaja Asia pada tahun ini.
Ia boleh dikatakan menjadi antara faktor utama sambutan peserta yang cukup menggalakkan apabila 722 pemain muda dari 17 negara mengambil bahagian dengan 527 jumlah itu terdiri daripada wakil Malaysia.
Pengerusi penganjur, Syed Kebir berkata, apabila kejohanan itu dinaik taraf oleh Persekutuan Skuasy Asia (ASF), ia secara tidak langsung menarik lebih banyak penyertaan berbanding 583 pemain dari 14 negara tahun lalu.
“Pemain dari Asia dan Eropah berminat menyertai kejohanan ini kerana mereka boleh meraih lebih banyak mata ranking. Ia sekali gus menjadikan kejohanan ini ada daya tarikan utama,” katanya.
Kejohanan itu turut mendapat sokongan Kumpulan Touch ‘n Go merangkumi Touch ‘n Go Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan terhadap pembangunan skuasy tanah air.
“Dengan sokongan mereka, kami dapat memastikan sumber yang lebih baik, latihan serta program yang lebih tersasar untuk pemain dan jurulatih, seterusnya membantu memupuk generasi baharu juara skuasy,” jelas Presiden SRAFTKL, Steven Kwan.
Kejohanan itu akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Majlis Sukan Negara di Jalan Duta dan Gelanggang Skuasy Universiti Malaya.
Enam kategori umur lelaki dan wanita bakal dipertandingkan iaitu bawah sembilan tahun (B-9), B-11, B-13, B–15, B-17 dan B-19.
Antara negara bersaing selain Malaysia adalah Kanada, China, Hong Kong, India, Jepun, Pakistan, Qatar, Singapura, Korea Selatan, Sri Lanka, Thailand, Amerika Syarikat, Austria, Jordan, Macau dan Rusia. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SRAFTKL