BARISAN pemain Speedy Tigers perlu mengekalkan momentum positif dengan cubaan mencipta kejutan ke atas Belgium.
PELUANG terbaik buat skuad hoki Speedy Tigers menumbangkan bekas juara dunia dan Sukan Olimpik, Belgium dalam aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 di Ipoh, Perak petang ini (6pm, 27 November).
Berdasarkan rekod pertemuan, Speedy Tigers telah menentang Belgium yang kini di ranking ketiga dunia, sebanyak sembilan kali yang menyaksikan Malaysia menang dua kali, seri satu dan tewas tujuh perlawanan.
Kali terakhir Malaysia menang ke atas jaguh Eropah itu adalah 24 tahun lalu dengan keputusan 2-1 sewaktu saingan Cabaran Juara-Juara 2001.
Bagaimanapun, pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan adalah sesuatu yang mahu dilupakan oleh skuad kebangsaan selepas mencatat kekalahan besar 0-8 dalam satu perlawanan Test Match pada 2019.
Ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh menjangkakan satu aksi berintensiti tinggi bakal dihadapi anak-anak buahnya, sama seperti menentang India yang berkesudahan Malaysia tewas tipis 3-4 hari ini (26 November).
“Esok (27 November) kami jangkakan satu lagi aksi intensiti tinggi. Kami perlu lebih kemas dalam transisi dan kekal fokus 60 minit untuk elak kesilapan yang akan menghukum kami,” katanya.

Bagaimanapun, Speedy Tigers mungkin turun tanpa khidmat pemain tengah, Syafiq Hassan yang gagal menamatkan perlawanan menentang India selepas mengalami kecederaan.
“Status terkini Syafiq masih dalam penilaian pasukan perubatan. Keutamaan kami sekarang adalah keselamatan dan pemulihannya dahulu,” jelas Sarjit.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Speedy Tigers kini di kedudukan keempat dalam carta round robin hasil satu kemenangan, satu seri, satu kekalahan, berada di belakang Belgium, New Zealand dan India. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – MHC