SEAN YEE melabuhkan kariernya sebagai pemegang rekod kebangsaan dan satu-satunya atlet lompat tinggi wanita negara pernah memenangi pingat emas Sukan SEA.
SELEPAS hampir dua dekad, ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee mengambil keputusan berat dengan mengumumkan persaraannya daripada dunia olahraga.
Sean Yee, 31, melabuhkan kariernya sebagai pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan dengan atatan 1.83 meter (m) yang diciptanya ketika meraih pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Bukan itu sahaja, Sean Yee juga muncul atlet lompat tinggi wanita Malaysia pertama berjaya melepasi had ketinggian 1.80m dalam satu kejohanan di Kuala Lumpur dengan catatan 1.81m pada 19 Mac 2017.
Tidak terhenti di situ, Sean Yee meneruskan kecemerlangan apabila muncul atlet lompat tinggi wanita pertama Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA.
Ketika itu, Sean Yee berkongsi pingat emas dengan Wanida Boonwan dari Thailand selepas masing-masing melepasi had ketinggian 1.81m pada Sukan SEA Manila 2019.
“Melihat semula perjalanan saya selepas hampir 2 dekad, saya sendiri tak sedar sudah melompat selama ini.
“Dari orang biasa kepada pemegang rekod kebangsaan. Saya bukanlah seorang yang begitu menonjol di atas padang, tetapi saya seorang yang bekerja secara senyap untuk meningkatkan diri walaupun cuma 1 peratus pada hari yang susah.
“Saya pernah letak sasaran pada awal 20-an dan apabila tiba waktunya (bersara), saya tunaikannya. Bukan sebab ‘api dalam diri’ sudah hilang, bersara bukan pengakhiran tetapi permulaan kepada sesuatu yang baharu,” katanya.
Sean Yee memulakan kariernya pada 2011 sehinggalah dia berjaya mengukir nama sebagai pemegang rekod Malaysia dengan catatan 1.79m pada 2015, memadam catatan lama 1.78m dicipta Shabana Khanum Jalal Din pada 10 tahun dahulu.
Dia memperbaharui rekod itu dengan had ketinggian 1.83m pada Sukan SEA KL 2017 dan terus mencuba selama lapan tahun berturut-turut untuk memecahkannya sekali lagi, namun tidak berhasil.
Kejohanan terakhir disertai Sean Yee adalah Terbuka Malaysia 2025 di Kangar, Perlis menyaksikan ia melepasi had ketinggian 1.70m pada 29 Ogos tahun lalu. – PODIUM ON TOUR