BARISAN atlet dan penaja mengambil gambar pada sidang akhbar kejohanan di Sunway Megalanes hari ini.
KEJOHANAN Remaja Antarabangsa All-Stars MILO Storm bawah 22 tahun (B22) 2025 kembali lebih meriah apabila kekal menawarkan jumlah wang kemenangan tertinggi di peringkat remaja Asia.
Ia sekali gus bakal meningkatkan intensiti kejohanan remaja berprestij Asia memasuki edisi ke-22 yang bakal diadakan di Sunway Megalanes dari 3 hingga 14 Disember ini.
Hadiah keseluruhan kali ini bernilai RM265,800, peningkatan 22 peratus daripada musim lalu iaitu RM58,700 sekali gus mencerminkan bilangan penyertaan yang makin bertambah setiap tahun.
Juara Terbuka dan Graded Lelaki masing-masing akan membawa pulang RM30,000 serta RM20,000, menandakan peningkatan RM5,000 berbanding edisi tahun lalu.
Menariknya, penganjuran kali ini turut memperkenalkan kategori baharu ‘Super Junior’ bagi pemain berusia 29 tahun ke bawah, menggantikan Cabaran Gen Z buat kategori umur 25 tahun ke bawah dari 2021 hingga 2024.
Juara Super Junior akan meraih RM15,000, manakala kedudukan tertinggi buat pemain wanita bakal menerima tambahan RM3,000 – bermakna pemain wanita yang memenangi juara keseluruhan boleh membawa pulang hadiah RM18,000.
Dua bintang muda negara, Ethan Damien Goh dan Adelia Nur Irwan Syazalee pastinya menjadi pilihan pada kejohanan yang menarik lebih 800 penyertaan daripada 16 negara dengan Singapura menjadi kontinjen terbesar (288 atlet), Korea Selatan (82), Australia (45) dan Jepun (25).
Ethan, 15, menikmati kempen cemerlang tahun ini selepas mencipta sensasi menjuarai kategori remaja dan terbuka lelaki pada Terbuka Antarabangsa Malaysia, April lalu selain turut menjadi watak penting meraih emas berganda Kejohanan Remaja Asia.
Adelia, 18, yang kini bersama skuad kebangsaan di Hong Kong, juga tidak kurang hebatnya dan dijangka turun dengan keyakinan tertinggi susulan kejayannya membuat debut pada Kejohanan Dunia IBF 2025.
“Sepanjang dua dekad setengah lalu, kejohanan ini berkembang menjadi pemangkin sebenar buat pembangunan remaja di Asia kerana menyediakan platform kepada pemain-pemain boling bertaraf dunia mula meninggalkan jejak mereka.
“Daripada juara yang sudah terbukti seperti Rafiq Ismail kepada bintang meningkat naik, Ethan Damien Goh, begitu ramai bakat memulakan karier mereka di sini dari divisiyen B-12 dan B-15.
“Ikon global seperti Jason Belmonte (Austgralia) pernah bersaing di sini semasa tahun-tahun awal kariernya. Ini membuktikan perkembangan kejohanan dan kami komited meningkatkan tarafnya ke tahap lebih tinggi,” kata Pengarah Sunway Megalanes, Foong Tak Meng.
Ketua Pemasaran Sukan Nestle Malaysia, Kerwin Lim juga berbangga meneruskan kerjasama panjang dengan kejohanan itu yang kini sudah memasuki edisi Jubli Perak tahun ini.
“Ia memainkan peranan penting membetuk juara generasi baharu Malaysia sambil memperkukuh landskap boling remaja di seluruh Asia. Ia satu penghormatan menjadi sebahagian daripada perjalanan atlet-atlet muda,” jelasnya. – PODIUM ON TOUR