BARISAN pemain Pakistan meraikan kejayaan mereka melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 di Belgium-Belanda pada Ogos depan. - FIH
PENGERUSI Lembaga Kriket Pakistan, Mohsin Naqvi berjanji menyediakan peluang pekerjaan dan sokongan perubatan kepada pemain-pemain skuad hoki Pakistan layak ke Piala Dunia.
Ini kali kedua Naqvi bertemu para pemain dalam tempoh sebulan selepas bekas presiden Persekutuan Hoki Pakistan (PHF), Tariq Bugti meletakkan jawatan.
Ia susulan ketidakcekapan PHF membiarkan pemain-pemain terkandas tanpa penginapan dan makanan di Australia untuk saingan Liga Pro FIH di Hobart bulan lalu.
Segalanya bermula dengan kesalahan PHF mengisi borang permohonan visa yang ditolak oleh pihak imigresen Australia sebelum tidak membayar tempahan hotel menyebabkan penginapan mereka dibatalkan.
Lebih malang, pemain-pemain juga terpaksa mencuci pinggan dan dapur selain menginap di Airbnb kerana tiada dana untuk bersiap sedia menentang Australia dan Jerman dalam Liga Pro FIH.
Segala pengorbanan itu berbaloi apabila Pakistan layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 8 tahun apabila muncul naib juara Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 di Ismailia, Mesir.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif juga mengumumkan ganjaran wang tunai sebanyak Rs1.5 juta (RM 21,032) kepada setiap pemain sebagai pengiktirafan penting tersebut.
Pakistan dilihat serius mengorak langkah jauh apabila mahu melantik jurulatih berpengalaman dari Australia, Colin Batch menggantikan pengendali sekarang, Khawaja Junaid.
Pelantikan Batch dilihat bukan hanya terarah ke Piala Dunia 2026 di Belgium-Belanda pada Ogos nanti, sebaliknya mahu memastikan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya sebulan kemudian. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – FIH