Skip to content

Podium On Tour

Primary Menu
  • Home
  • Olahraga
  • Hoki
  • Bola Sepak
  • Badminton
  • Sukan Lain
  • XTRA
  • Kenali Kami
  • Hubungi
Light/Dark Button
  • Xtra

TM perkukuh komitmen terhadap sukan negara

podiumontour March 13, 2026 4 minutes read
TM

Stadium Nasional Bukit Jalil selepas ini akan dijenamakan sebagai TM Stadium Nasional.

KOMITMEN Telekom Malaysia Berhad (TM) menyokong pembangunan sukan negara terus terserlah apabila syarikat telekomunikasi terkemuka itu tampil memainkan peranan aktif membantu memperkukuh ekosistem sukan Malaysia.

Penglibatan TM dalam arena sukan bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak sekian lama telah menyumbang pelbagai inisiatif penting memastikan industri sukan negara terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, TM menjalin kerjasama strategik bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi perjanjian hak penamaan selama tiga tahun membabitkan dua venue sukan utama negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.

Kerjasama tersebut menyaksikan kedua-dua venue berkenaan dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memastikan kemudahan sukan negara terus berada pada tahap terbaik.

TM melihat kerjasama ini sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyumbang kepada perkembangan ekosistem sukan Malaysia, termasuk memperkukuh infrastruktur, meningkatkan pengalaman pengunjung serta menyokong penganjuran acara berskala besar di venue nasional.

Inisiatif itu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat, malah berperanan membantu Malaysia mengekalkan infrastruktur bertaraf antarabangsa yang mampu menarik pelbagai acara sukan, hiburan serta konsert berskala besar ke negara ini.

Selain memberi manfaat kepada sektor sukan, kerjasama berkenaan juga dilihat mampu merancakkan ekonomi negara menerusi peningkatan aktiviti pelancongan dan penganjuran acara bertaraf global yang berlangsung di venue ikonik tersebut.

TM
AMMAR HUZAIMI

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang cukup bersejarah itu.

Menurutnya, Stadium Nasional dan Stadium Putra sejak sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, kerjasama berkenaan turut memberi manfaat kepada PSM apabila hasil yang diperoleh dapat disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan sedia ada demi keselesaan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil menjelaskan, pihaknya komited memastikan kedua-dua stadium berkenaan sentiasa berada pada tahap terbaik sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf dunia.

Menurutnya, kerjasama hak penamaan itu merupakan antara inisiatif penting PSM bagi memastikan kelestarian serta pembangunan jangka panjang venue berkenaan.

“Berkuatkuasa 6 Mac 2026, PSM menjenamakan semula Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.

“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya.

TM
AXIATA Arena selepas ini akan dijenamakan sebagai Unifi Arena.

Selain kerjasama dengan PSM, badan korporat itu turut menjalin kerjasama bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia sebagai Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan.

Kerjasama strategik sepaktakraw itu menyaksikan TM memainkan peranan penting dalam menyokong penyertaan skuad negara dalam beberapa kejohanan utama termasuk Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok serta Piala Dunia ISTAF 2026.

Amar Huzaimi berkata, sokongan tersebut mencerminkan komitmen berterusan TM dalam memperkasa pembangunan sukan tempatan serta melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pembangunan sukan tempatan dan memupuk bakat negara. Sepak takraw adalah sukan yang berakar umbi dalam warisan kita, dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhannya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai rekod, TM bukanlah nama asing dalam pembangunan sukan negara apabila sebelum ini turut menjadi antara penaja utama saingan liga bola sepak tempatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sumbangan berterusan TM kepada beberapa cabang sukan di Malaysia diharap mampu membuka mata lebih banyak badan korporat lain untuk tampil bersama membantu memajukan industri sukan negara.

Ini kerana terdapat banyak lagi kemudahan dan venue sukan di seluruh negara yang memerlukan sokongan sektor korporat bagi memastikan ia dapat dinaik taraf serta dibangunkan menjadi infrastruktur bertaraf dunia.

Komitmen TM sewajarnya menjadi contoh kepada badan korporat lain dalam menyokong pembangunan sukan dan infrastruktur negara kerana usaha seperti ini memberi manfaat kepada atlet dan rakyat terutamanya.

Malah, ia turut membantu meringankan beban kerajaan dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan kemudahan sukan negara agar terus berada pada tahap terbaik untuk generasi akan datang. – PODIUM ON TOUR

Post navigation

Previous: Klinik NSL lahirkan generasi pelapis masa depan
Next: Hakim Danish study Litar Ayrton Senna melalui Youtube

Related Stories

NSL
  • Xtra

Klinik NSL lahirkan generasi pelapis masa depan

podiumontour March 13, 2026
ABKL
  • Xtra

ABKL sumbang RM37,000 kepada anak yatim

podiumontour February 25, 2026
ABKL
  • Xtra

ABKL Experience 2025 perkenal ekosistem komuniti digital

podiumontour December 20, 2025

Recent Posts

  • Izzatul Musfirah ‘straight A’ SPM 2025
  • Azeem VS Umar di Terbuka Malaysia, realiti atau fantasi?
  • Diva Renatta kongsi ‘resipi’ utama kejayaan semasa
  • 5 sasaran utama Umar bagi tahun 2026
  • Magis Hakim Danish raih No.13 di COTA
  • YouTube
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok
  • Threads
© 2026 PODIUM ON TOUR All rights reserved. | MoreNews by AF themes.