DANISH Iftikhar berjaya memenangi acara 100m dalam dua daripada empat siri VTF dianjurkan tahun lalu. - SUKAN IPT
BERITA gembira buat atlet-atlet olahraga apabila kesemua empat siri Varsity Track & Field (VTF) 2026 termasuk Grand Final kini mendapat pengiktirafan daripada World Athletics.
Ia pastinya bakal meningkatkan persaingan VTF 2026 ke tahap lebih tinggi kerana atlet-atlet boleh menjadikan ia sebagai salah satu platform menguji prestasi terbaik mereka.
Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Sukan), Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub berkata, sebelum ini hanya Grand Final VTF didaftarkan dalam World Athletics.
“VTF kali ini lebih ke depan kerana kita daftarkan semua sirkit dalam World Athletics. Ini bermakna catatan atlet akan ada dalam ranking World Athletics.
“Kita ada program yang berstruktur. Dulu kita lebih nak berikan kesedaran, bila ramai atlet berjaya buat rekod dan sebagainya, kita nak VTF boleh menjadi salah satu medium terbaik untuk mereka.
“Secara tak langsung atlet akan berlumba-lumba untuk catat masa terbaik. Dan mereka boleh cuba capai kelayakan masa ditetapkan ke kejohanan-kejohanan tertentu,” katanya kepada Podium On Tour.
Difahamkan, rata-rata atlet kebangsaan yang merupakan penuntut universiti akan mengambil bahagian seperti pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Danish yang juga pemegang rekod 200m kebangsaan dengan masa 20.73s, menjuarai 100m VTF 2 dan 3 tahun lalu, menerusi catatan 10.34s serta 10.43s.
Namun, penuntut UPSI itu tidak beraksi di Grand Final yang menyaksikan rakannya dalam kuartet 4x100m kebangsaan, Aliff Iman Fahimi ditabalkan raja pecut dengan catatan 10.52s. – PODIUM ON TOUR
JADUAL VTF 2026
📍 VTF 1
🗓 17–19 April 2026
🏟 USM, Gelugor, Penang
📍 VTF 2
🗓 5–7 June 2026
🏟 Stadium UniSZA, Terengganu
📍 VTF 3 x SUKIPT
🗓 2–5 September 2026
🏟 Arena UM, Kuala Lumpur
🏆 GRAND FINAL
🗓 25–27 Sept 2026 (atau 2–4 Okt 2026)
🏟 Universiti Putra Malaysia (UPM)
KREDIT FOTO – SUKAN IPT