SKUAD boling campuran negara terpaksa menerima hakikat tidak berjaya menyumbangkan tambahan pingat pada hari terakhir Deaflympics Tokyo 2025. FOTO: MSDEAF
PENAMAT yang tetap membanggakan daripada kontinjen Malaysia meskipun tiada lagi tambahan pingat pada saingan hari terakhir acara tenpin boling Deaflympics Tokyo 2025 semalam (25 November).
Pasukan campuran pertama negara dibarisi Ho Choon Seong, Syabil Syamsul Azam, Hong Siong Mui dan Hie Siw Sing tidak berjaya melepasi pusingan pertama apabila mengakhiri saingan di kedudukan kesembilan dengan jatuhan pin 1,109.
Skuad campuran kedua negara diketuai Awang Mohd Zaidi, Mohamad Mohd Firdaus, Nor Misha Nathera Mackery dan Huwainaa Danduan Abdullah juga berdepan nasib sama pada saingan berlangsung di Higashiyamato Grand Bowl itu.
Biarpun gagal merealisasi sebarang pingat pada hari terakhir itu, semangat pemain tetap tinggi dengan Choon Seong mengakui seluruh pasukan tetap memberi komitmen penuh.
“Prestasi ada turun naiknya, namun semua pemain telah lakukan yang terbaik. Kami akan belajar daripada pengalaman ini dan meneruskan latihan untuk persiapan ke kejohanan akan datang,” katanya.
Malaysia menamatkan keseluruhan kempen Deaflympics Tokyo 2025 dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Begitupun, ia masih tidak mencapai sasaran awal ditetapkan kem negara iaitu tiga emas selepas beberapa peluang terlepas dalam acara badminton dan boling berpasukan lelaki.
Sebagai rekod, Deaflympics Tokyo 2025 bakal melabuhkan tirai secara rasminya melalui acara penutupan hari ini. – PODIUM ON TOUR
SUMBER GAMBAR – MSDEAF