STEFFI (kiri) dan Intan antara dua tunjang skuad Wanita negara pada Sukan SEA Thailand 2025. FOTO: FAM
PENGALAMAN Steffi Sarge Kaur dan Intan Sarah Anisah Zulgafli menjadi pertaruhan skuad bola sepak wanita negara dalam misi menamatkan penantian 30 tahun Malayan Tigress sejak 1995 untuk menaiki podium Sukan SEA pada edisi Thailand 2025.
Kehadiran Steffi, 37, dan Intan Sarah, 26, menjadi sandaran Malayan Tigress untuk melepasi ‘kumpulan maut’ iaitu Kumpulan B menentang juara bertahan empat edisi berturut-turut, Filipina dan Myanmar.
Selain dua bintang berpengaruh itu, ketua jurulatih Malaysia, Joel Cornelli menyenaraikan juga beberapa lagi nama berpengalaman seperti penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan; pemain tengah, Nur Lyana Soberi dan penyerang, Henrietta Justine.
Jurulatih kelahiran Brazil itu turut memanggil dua pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Kanchenjeet Kaur (Miami Dades Sharks) dan Tegen Su-Yin Butler (FC United) dalam skuad kali ini.
Paling menarik daripada senarai 23 pemain terpilih, Cornelli turut memilih pemain berusia 15 tahun yang beraksi di posisi penyerang, Nur Laila Syamila A Rahim.

Malayan Tigress akan berlepas ke Thailand pada Rabu (3 Disember) bagi memulakan cabaran Kumpulan B di Stadium Chonburi pada Jumaat (5 Disember) menentang Vietnam yang tidak pernah gagal menaiki podium Sukan SEA sejak 1997.
Vietnam yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia Wanita 2023 menjadi pilihan utama untuk menjuarai pingat emas selain lawan ketiga Malayan Tigress iaitu Filipina pada Khamis (11 Disember).
Ini disebabkan status Filipina yang pernah beraksi di Piala Dunia Wanita 2023 dan terdesak untuk muncul juara Sukan SEA buat kali pertama dalam sejarah.
Satu lagi lawan bakal dihadapi skuad wanita negara dalam Kumpulan B adalah Myanmar yang juga tidak kurang hebatnya berdasarkan status sebagai finalis edisi 2023, tewas 0-2 kepada Vietnam di pentas final.
Sebagai rekod, temasya 1995 di Chiang Mai merupakan satu-satunya edisi Malayan Tigress menaiki podium dengan meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand di perlawanan akhir. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – FAM