HAFIZH (dari kiri), Hilmi, Muzammil dan DaddyHood hadir pada sidang media sempena ABKL Experience 2025 diadakan hari ini.
ADIK BERADIK Kuala Lumpur (ABKL) mencipta sejarah tersendiri menerusi penganjuran ABKL Experience 2025, sebuah acara berskala besar menjadi platform rasmi memperkenalkan keseluruhan ekosistem ABKL kepada masyarakat umum.
ABKL Experience 2025 berlangsung hari ini (20 Disember) di Shangri-La Kuala Lumpur mencatat sejarah penganjuran Expo & Pre-Tournament GTAV FiveM pertama di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir, acara itu akan mempamerkan perkembangan dunia roleplay tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-sukan.
“Pertandingan dianjurkan pula tampil dengan konsep roleplay kompetitif, berbeza daripada e-sukan tradisional di mana kreativiti, strategi, kerjasama pasukan dan penceritaan menjadi elemen utama penilaian.
“Inisiatif ini memperkenalkan satu bentuk pertandingan baharu dalam landskap permainan tempatan. Acara ini turut menghimpunkan 1,000 komuniti ABKL antaranya pemain, streamer, pembangun sistem, pempengaruh dan komuniti roleplay seluruh Malaysia.
“Selain menerima penyertaan pemain serta pemerhati industri dari beberapa negara jiran, ia sekali gus meletakkannya sebagai acara berimpak serantau,” kata Muzammil atau dikenali sebagai MelRomeo.

ABKL terus memperkukuhkan jenamanya dengan penglibatan ikon dan kolaborator berpengaruh seperti bekas pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin dan pempengaruh e-sukan terkenal, Daddyhood kekal sebagai ikon rasmi ABKL.
Dua ahli kumpulan rap K-Clique iaitu Somean dan Gnello pula terlibat sebagai kolaborator kreatif dan ikon budaya mewakili elemen muzik, gaya hidup serta pengaruh anak muda dalam ekosistem Adik Beradik Role Play (ABRP).
Dalam dunia permainan ABRP, watak mereka dikenali sebagai: Daddyhood – Joe Rimau; Hafizh Syahrin – Yaka Leng; Somean K-Clique – Boy K dan Gnello K-Clique – G-Star.
Ketua IT ABKL, Mohd. Hilmi Azli berkata, kesemua mereka bukan sekadar menjadi wajah promosi, tetapi turut berperanan sebagai pemain aktif, streamer serta penyumbang idea dalam pembangunan ABRP dan aktiviti komuniti.
ABKL melihat kolaborasi itu sebagai hubungan jangka panjang dengan pelbagai perancangan kandungan dan acara khas yang akan diumumkan secara berperingkat.
“ABKL menyaksikan peningkatan ketara dari segi keterlibatan komuniti serta penerimaan arus perdana. Demografi pemain turut berkembang merangkumi golongan bukan gamer, atlet, peminat hiburan dan penonton media sosial,” ujar Hilmi.

Dari sudut penjenamaan, ABKL dilihat bukan sekadar sebuah server permainan, tetapi sebagai platform komuniti digital dan kandungan kreatif Malaysia yang lebih matang, tersusun dan berdaya saing.
Ia juga menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan perancangan terbesar bagi tahun 2026, antaranya pengembangan ke skala lebih besar dengan teknologi dan sistem baharu dan penganjuran acara fizikal dan digital secara berkala.
Selain itu, kerjasama strategik bersama jenama, pencipta kandungan dan organisasi tempatan serta pembangunan platform sokongan untuk streamer dan pencipta kandungan melalui pelayan khas yang diberi nama ABShoot.
Fokus utama ABKL pada 2026 untuk mengangkat jenama itu sebagai komuniti digital Malaysia yang berdaya saing di peringkat serantau dan menjadi medium positif dalam membina komuniti, bakat serta peluang ekonomi digital.
Inisiatif itu diharapkan mampu melahirkan lebih ramai anak muda Malaysia yang kreatif, bertanggungjawab dan profesional, sambil membawa identiti tempatan ke peringkat yang lebih tinggi. – PODIUM ON TOUR