SYED Syafiq Syed Cholan (kanan) antara tonggak pertahanan tersenarai dalam barisan 30 pemain menjalani Jelajah Perth bermula hari ini hingga 25 Januari ini. - MHC
LIMA perlawanan berintensiti tinggi diatur dalam siri Jelajah Perth, Australia bermula hari ini hingga 25 Januari ini sebagai salah satu persiapan akhir skuad hoki lelaki negara ke Kelayakan Piala Dunia 2026.
Jelajah Perth menjadi medan penting buat barisan 22 pemain yang dibawa ke bumi Kanggaru itu bagi menguji kemampuan dalam merebut tempat ke kejohanan penting tersebut yang akan diadakan di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac ini.
Lima perlawanan di Jelajah Perth itu bakal menyaksikan Speedy Tigers menentang Thunderstick sebanyak tiga kali (16, 17 dan 22 Januari) serta dua perhitungan dengan skuad kebangsaan Australia pada 20 dan 24 Januari ini.
Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh menjelaskan, beraksi menentang Australia dan Thundersticks di Perth memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan tempo, fizikal dan tekanan permainan di tahap yang lebih tinggi.
Ia penting buat pasukannya membawa bekalan persiapan terbaik ke Kelayakan Piala Dunia di mana Malaysia berada dalam Kumpulan B Bersama China, Pakistan dan Austria.
“Siri jelajah ini saya gabungkan pemain senior dan remaja di mana tiga yang dipanggil menjalani latihan aitu Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd. Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami.
“Gabungan ini penting untuk memastikan keseimbangan pasukan selain memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman di peringkat senior.
“Fokus kami pada jelajah ini juga untuk melihat tahap disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi sepanjang siri jelajah,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sarjit mengakui, semua yang dibawa menyertai Jelajah Perth mempunyai peluang sama rata untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain ke Kelayakan Piala Dunia nanti.
“Bagi pemilihan ke Kelayakan Piala Dunia, barisan kejurulatihan akan menilai siapa 20 pemain yang berjaya menunjukkan prestasi baik, mempunyai keserasian bermain sebagai satu pasukan, dan cepat menyesuaikan diri dalam setiap situasi perlawanan.
“Siri jelajah ini juga akan digunakan sebagai platform untuk menguji pelbagai gandingan pemain, pendekatan taktikal dan strategi pasukan.
“Mendapat perlawanan persahabatan menentang lawan yang berkualiti seperti ini memberi ruang kepada jurulatih membuat penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perancangan terbaik untuk ke Kelayakan Piala Dunia,” jelasnya. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – MHC
1 thought on “Jelajah Perth ujian ke Kelayakan Piala Dunia”
Comments are closed.