ARIF (kanan) dan Roy King menjadi sandaran skuad berpasukan lelaki negara pada saingan BATC kali ini. - IG WAN ARIF JUNAIDI
BEREGU lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mahukan semua rakan sepasukan membetulkan mentaliti apabila turun ke gelanggang menentang Myanmar bagi aksi Kumpulan D Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) esok (4 Februari).
Rata-rata nama dipilih beraksi BATC kali ini bukan sahaja pemain muda, malah ramai di antara mereka bakal membuat debut pada kejohanan di Qingdao, China berlangsung hingga 8 Februari ini.
Arif-Roy King mengingatkan BATC tidak sama seperti saingan individu yang lain dengan kerjasama dan semangat berpasukan adalah elemen penting untuk berjaya.
“Komunikasi dengan rakan sepasukan amat penting kerana kita bukan main acara individu, ini adalah kejohanan berpasukan. Jadi semangat berpasukan itu amat penting.
“Ketika bertanding, sudah pasti tumpuan kepada rakan gandingan tetapi bila kita melihat rakan sepasukan lain sedang beraksi, harap kita semua dapat berikan sokongan yang terbaik untuk mereka,” kata Arif.
Mereka berdua juga mengakui tekanan turut dirasai biarpun Malaysia dilihat tidak berdepan masalah untuk layak ke Piala Thomas secara merit.
Atas kertas, hanya empat pasukan dari kejohanan itu dan Eropah akan layak ke Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark pada April depan, bersama-sama tiga juara benua Afrika, Oceania dan Pan Amerika.
Baki tiga lagi pasukan melengkapkan penyertaan Piala Thomas dan Piala Uber (berpasukan wanita) ditentukan melalui ranking dunia yang mana Malaysia kini berada di No.5.
“Tekanan sentiasa ada kerana semua pemain mahu menang. Memandangkan kami pasukan yang muda dan ramai pemain baharu, kami tidak sepatutnya meletakkan tekanan terlalu tinggi.
“Biarlah mereka menikmati dua perlawanan pertama dan lihat bagaimana keputusannya,” kata Roy King.
Selain Myanmar, Malaysia akan berdepan Indonesia bagi melengkapkan saingan Kumpulan D pada Khamis ini.
Skuad berpasukan wanita juga akan memulakan perjuangan mereka esok berdepan gergasi Asia, China dalam saingan Kumpulan W. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – IG WAN ARIF JUNAIDI