ARMIN mempunyai rekod peribadi 110m berpagar dengan masa 13.85s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan tahun lalu.
BINTANG muda olahraga negara, Armin Zahryl Abdul Latif mahu membawa pulang ‘kenangan manis’ daripada penampilan pertamanya di pentas Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia (Asian Indoor) 2026 di Tianjin, China.
Armin, 21, menjadikan rekod 60m berpagar indoor kebangsaan sebagai matlamat utamanya pada saingan berlangsung 6 hingga 8 Februari ini meskipun menyedari ini adalah debutnya di pentas Asian Indoor bersama jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar.
Bagi Armin, ia akan menjadi satu permulaan yang terbaik buatnya dalam kalendar baharu 2026, meneruskan prestasi cemerlangnya Ketika memenangi pingat gangsa 110m berpagar di Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok hujung tahun lalu.
Rekod 60m berpagar dalam dewan kebangsaan ketika ini sudahpun berusia 20 tahun sejak Mohd Faiz Mohamad menciptanya dengan catatan 7.91 saat (s) sewaktu Asian Indoor edisi 2006 di Pattaya, Thailand.
“Benar acara saya adalah 110m berpagar tetapi dalam memang selalu berlatih 60m berpagar juga. Kalau ikutkan semasa latihan memang dah lepas catatan itu (7.91s rekod kebangsaan).
“Cumanya berbeza situasi sebab berlatih outdoor, nanti nak lari indoor. Apapun saya akan buat yang terbaik untuk cuba pecahkan rekod itu, inilah sasaran saya dekat China nanti,” katanya kepada Podium on Tour.
Sebagai rekod, Faiz memenangi pingat gangsa Asian Indoor edisi 2006 di Pattaya itu selain seorang lagi bekas pelari 110m berpagar negara, Robani Hassan juga pernah meraih tempat ketiga edisi 2004 di Tehran, Iran.
Legenda lompat bergalah negara, Roslinda Samsu menjadi atlet paling berjaya di pentas Asian Indoor dengan satu emas pada 2010 dan dua perak (2004, 2008).
Bagaimanapun, Armin merasakan ia satu tugas yang agak mustahil untuk mengikut jejak Faiz dan Robani menaiki podium Asian Indoor disebabkan persaingan sengit daripada jaguh-jaguh handalan Asia seperti Jepun serta China.
“Memang sukar, lagi-lagi ini penampilan pertama saya. Dapat beraksi di Asian Indoor sendiri pun menjadi satu pengalaman yang cukup berharga dalam karier saya,” jelas Armin yang mempunyai catatan peribadi 110m berpagar, 13.85s.
Untuk tahun 2026, atlet dari Dungun, Terengganu itu turut meletakkan sasaran mahu memadam rekod 110m berpagar negara, 13.67s dilakukan oleh Rayzamshah Wan Sofian di Weinheim, Jerman pada 2017. – PODIUM ON TOUR
1 thought on “Rekod 20 tahun sasaran Armin Zahryl di China”
Comments are closed.