ARUWIN menjadi atlet Wanita pertama Malaysia beraksi di pentas Winter Olympics pada edisi Beijing 2022. - OLYMPICS.COM
MENJADI wakil tunggal Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk (Winter Olympics) sama sekali tidak menghadirkan rasa gementar dalam diri atlet alpine ski negara, Aruwin Salehhuddin.
Sebaliknya Aruwin, 21, bersemangat tinggi untuk mengharumkan nama negara beraksi menentang atlet-atlet luncur salji handalan dunia pada edisi 2026 di Milan dan Cortina, Itali bermula hari ini hingga 22 Februari nanti.
Realistiknya, Aruwin yang berpangkalan di Amerika Syarikat mahu meraih keputusan yang lebih baik berbanding penampilan pertamanya di Winter Olympics sewaktu edisi 2022 di Beijing, China.
Ketika itu, Aruwin muncul atlet wanita pertama beraksi di pentas Winter Olympics, meraih tempat ke-38 dalam acara giant slalom, namun nasib tidak menyebelahinya apabila gagal menamatkan saingan bagi kategori slalom.
“Impian semua atlet sudah tentu mahu meraih kejayaan dan menaiki podium tetapi realitinya ia bukan mudah, lagi-lagi sukan seperti ini. Jadi saya mahu keputusan lebih baik daripada 2022.

“Saya menganggap edisi Milan-Cortina ini masih sebagai platfrom pembelajaran untuk saya menimba pengalaman bernilai. Saya ada misi lebih besar pada masa depan iaitu beraksi di Piala Dunia Alpine Ski.
“Saya boleh beraksi di Piala Dunia yang sebenarnya lebih susah daripada Winter Olympic. Saya tidak mahu sekadar sertai, saya mahu benar-benar layak dengan bersaing dengan atlet-atlet handalan lain.
“Sebab itu saya ambil satu demi satu Langkah dan Winter Olympics ini adalah salah satu persediaan saya sebelum ke Piala Dunia satu hari nanti,” kata Aruwin yang membawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian Winter Olympics 2026.
Tahun lalu, Aruwin terlepas podium di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk Asia di Harbin, China apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara slalom.
Sebagai rekod, Aruwin merupakan anak kepada Olimpian negara, Salehhuddin Ayob yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dalam acara kenu slalom. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ARUWIN.SAL & OLYMPICS