AFERULL meraikan kejayaannya menyudahkan penalti shoot-out untuk menghadiahkan kejuaraan SOJC 2026 buat Malaysia pada Sabtu lalu. - JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
SIAPA sangka, pemain yang menjadi penentu kejayaan Malaysia menjulang Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 turut mempunyai inspirasi tersendiri ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.
Aferullsyah Ahmad Azuan Syahrill bukan cuma sebahagian skuad hoki remaja negara menamatkan penantian 15 tahun Malaysia untuk kembali bergelar juara sejak 2011, malah pernah membuktikan kesibukan sebagai atlet tidak seharusnya dijadikan alasan mengabaikan pelajaran.
Lebih manis, Aferullsyah, 19, muncul wira apabila menyempurnakan penalti shoot-out memastikan Malaysia menewaskan Pakistan 4-3 selepas terikat 2-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada 24 Oktober lalu.
ARTIKEL INI DIBAWAKAN OLEH TAVIS – PLATFORM PEMBELAJARAN DIGITAL UNTUK SEMUA
Detik itu menghadiahkan kejuaraan pertama buat Young Tigers sejak dibentuk awal tahun ini selepas terlepas podium Piala Remaja Asia 2026 sebulan sebelum itu yang turut menyaksikan mereka layak ke Piala Dunia Remaja 2027.
Namun, di sebalik kejayaan di pentas antarabangsa itu, Aferullsyah membawa mesej yang cukup bermakna buat pelajar, khususnya mereka yang menduduki SPM tahun ini.
Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu yang turut mengambil subjek elektif Tasawwur Islam berjaya memperoleh keputusan 3A 5B dalam peperiksaan SPM 2024.

“Pelajaran sangat penting sebab dalam sukan, kalau cedera, kita tidak tahu apa akan jadi selepas itu. Jadi, pelajaran boleh menyokong kita di masa depan nanti.
“Saya cuba seimbangkan pelajaran dan sukan. Saya letak fokus sepenuhnya dan saya tak jangka boleh raih keputusan 3A 5B. Alhamdulillah usaha saya berhasil.
“Masa SPM dulu ada Piala Mirnawan (November 2024) dan saya masih bermain lagi (peperiksaan SPM 2024 pada Disember). Jadi saya ambil masa wktu malam untuk belajar dan itulah yang saya buat hari-hari sepanjang nak ambil SPM,” katanya kepada Podium On Tour.
Daripada seorang pelajar yang hanya mengulang kaji pelajaran di sebelah malam kepada pemain terakhir menyempurnakan penalti shoot-out menghadiahkan Malaysia kejuaraan selepas 15 tahun, Aferullsyah membuktikan usaha yang konsisten mampu membawa seseorang menuju kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Kini, Aferull yang bercita-cita menjadi seorang pendidik, bertekad untuk merebut tempat dalam skuad senior dalam mengejar impiannya beraksi di pentas Piala Dunia dan Sukan Olimpik satu hari nanti.
Buat mereka yang sedang berjuang menghadapi SPM, sukan bukan alasan, sebaliknya, jadikan kedua-duanya sebagai ruang untuk membina disiplin, menguji kemampuan diri dan mengejar masa depan lebih cerah.
Selamat berjuang kepada pelajar-pelajar SPM yang menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula hari ini, 26 hingga 29 Oktober diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (2-5 November), Ujian Amali Sains (16-18 November), Ujian Mendengar Bahasa Melayu (23 November) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (24 November).
Peperiksaan bertulis SPM 2026 pula akan dijalankan dari 23 November hingga 17 Disember nanti. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
