BARISAN pemain negara meraikan kejayaan mereka menjuarai SOJC selepas kali terakhir memenanginya pada 2011. - JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
KEJUARAAN yang ditunggu-tunggu selama 15 tahun akhirnya terlerai menerusi kejayaan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 sejak kali terakhir memenanginya pada 2011.
Semangat tidak kenal erti kalah menjadi kunci kejayaan Young Tigers yang terus mencipta kebangkitan untuk menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penalti shoot-out setelah terikat 2-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya.
Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin memuji keseluruhan prestasi anak-anak buahnya walaupun bermula perlahan dan terlebih dahulu ketinggalan dua gol di awal permainan.
“Separuh masa pertama, kita main tak bagus sebab banyak sia-siakan peluang tetapi kita bangkit penuh bertenaga di suku ketiga dan keempat. Kita dapat juga gol-gol yang kita mahukan dalam aksi ini.
“Keseluruhannya semua main dengan bagus dan saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Mereka pemain muda dan masih mempunyai motivasi untuk pergi lebih maju lagi di masa depan,” katanya.
Dalam aksi final hari ini, Pakistan terlebih dahulu mendapat dua gol menerusi pukulan sudut penalti Rana Waleed dan jaringan padang Muhammad Usman, masing-masing pada minit ke-19 serta 23.
Namun, Malaysia bangkit mengikat kedudukan 2-2 melalui dua gol pukulan sudut penalti daripada Adam Asyraf Johari dan Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-25 dan 49, sekali gus mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.
Empat pemain Malaysia berjaya menyudahkan penalti shoot-out iaitu Adam Asyraf, Gagandeep Singh, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill.
Penjaga gol Young Tigers, Mohamad Adib Amsyar Mohammad Hanif turut cemerlang menafikan dua penalti shoot-out Pakistan sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaga Gol Terbaik Kejohanan.