NABIL mencipta kejayaan membanggakan apabila menjuarai SOJC selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2011. - JAYDEN SEAH
PEMBANGUNAN sukan akar umbi bukan sekadar usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, keyakinan dan kepimpinan generasi muda.
Menerusi sokongan berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pembangunan hoki tanah air, program SSTMI Thunderbolts menjadi antara platform yang membuka peluang kepada bakat muda untuk mengembangkan potensi diri sehingga ke pentas antarabangsa.
Antara contoh kejayaan pembangunan bakat ini ialah Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof, 20, yang bukan sahaja menyerlah sebagai pemain hoki, malah turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai kapten skuad remaja kebangsaan dan TNB Thunderbolts dalam TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2026.
Bagi pemain berusia 20 tahun itu, pengalaman di SSTMI Thunderbolts bukan sahaja membantu meningkatkan kemahirannya di atas padang, malah mendidik dirinya menjadi seorang pemain yang lebih berdisiplin dan memahami tanggungjawab terhadap pasukan.
Nabil melihat tanggungjawab selaku kapten skuad remaja negara dan SSTMI Thunderbolts sebagai peluang untuk belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi bagi memastikan pasukan bergerak mencapai matlamat sama.
Kematangan dibina itu diterjemahkan menerusi aksi cemerlang Nabil sepanjang kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 yang menyaksikan beliau mengemudi skuad menjuarai gelaran tersebut buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun sejak 2011.
“Dulu tak ada apa-apa pencapaian tinggi, kalau ada pun macam pemain terbaik MSSJ (Majlis Sukan Sekolah Johor). Bila di SSTMI Thunderbolts banyak peluang saya dapat macam jadi pemain terbaik MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) 2024.
“Di SSTMI Thunderbolts juga banyak bentuk diri saya hingga menjadi kapten sebab ia tak mudah, kadang-kadang sukar. Tapi ia membina diri saya untuk lebih yakin, disiplin dan saya perlu sesuaikan diri untuk bawa pasukan ke tahap paling tinggi,” katanya.
Nabil yang berasal dari Pasir Gudang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik aksi itu dan ia turut disaksikan sendiri keluarganya yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Lebih manis, ini adalah kali pertama tonggak pertahanan itu menjaringkan gol di pentas SOJC selepas dia gagal melakukannya dalam dua penampilan terdahulu Ketika edisi 2024 dan 2025.
“Sebenarnya saya tak banyak dapat peluang ambil flick tetapi kalau ada pun boleh satu gol macam tu, jarang dapat dua dalam satu perlawanan. Alhamdulillah hari ini dapat pemain terbaik dan bantu pasukan raih tiga mata.
“Dan ini kali pertama saya dapat jaringkan gol di SOJC. Memang sangat bermakna sebab ibu dan ayah semua tengok. Saya dapat buktikan yang mereka hantar saya bermain hoki jauh-jauh tidak sia-sia,” tambah Nabil.
Sebagai info, SSTMI Thunderbolts merupakan antara komitmen berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah menyalurkan lebih RM60 juta untik memperkukuh pembangunan hoki negara termasuk akar umbi, liga domestik dan pasukan kebangsaan. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JAYDEN SEAH