NAAVEENNASH (tengah) meraikan jaringannya bersama Rahuul (kiri) dan Gagandeep Singh dalam kemenangan ke atas Kanada hari ini. - JAYDEN SEAH
SKUAD hoki remaja negara menamatkan pusingan round robin Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas membelasah Kanada 6-1 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru hari ini.
Kemenangan itu secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dan semangat barisan pemain untuk menghadapi Pakistan dalam perlawanan akhir yang dijangka berlangsung penuh sengit malam esok.
Dalam aksi itu, Young Tigers terlebih dahulu dikejutkan gol awal oleh Kanada menerusi jaringan padang Chandi Navdip pada minit ketujuh.
Bagaimanapun, barisan muda negara hanya mengambil masa dua minit untuk menunjukkan reaksi balas dengan gol penyamaan daripada Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali.
Gol itu menyemarakkan semangat Young Tigers yang kemudiannya menghasilkan tiga lagi gol sebelum tamat babak pertama menerusi T. Naaveennash Paniker (m-15), Muhammad Faiz Afzan Mohd Faizal (m-22) dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien pada minit ke-30.
Skuad negara memastikan kemenangan selesa 6-1 ke atas Kanada dengan dua lagi gol di suku keempat hasil pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan dan Muhammad Safwan Salihe pada minit ke-41 serta 45.
Ketua jurulatih skuad muda negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menuntut para pemain agar mengekalkan ketajaman sama untuk final malam esok.
“Kita bermain dengan baik tetapi masih ada sedikit kelemahan seperti melepaskan peluang untuk menambah jaringan sebab esok adalah perlawanan yang lebih penting.
“Pakistan bukan lawan mudah, bahagian tengah dan serangan mereka sangat laju. Kemahiran bola juga bagus, jadi pemain kita perlu tahu bagaimana untuk mengawal permainan esok.
“Kita juga kena banyakkan peluang di kawasan mereka dan perkara paling penting adalah kita perlu menjaringkan gol,” katanya.
Pakistan mengesahkan tempat ke final apabila menamatkan liga sepusingan di tempat kedua selepas mengikat Jepun 2-2.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara SOJC sewaktu penganjuran edisi pertama pada 2011. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JAYDEN SEAH