TRIO poomsae berpasukan Wanita negara mencipta kejutan memenangi pingat emas Sukan SEA 2025. FOTO: MSN MALAYSIA
KEM taekwondo negara menebus kekecewaan menjadi mangsa keputusan juri didakwa berat sebelah dengan memenangi pingat emas acara recognized poomsae berpasukan wanita Sukan SEA 2025.
Menariknya, kejayaan itu langsung tidak diduga kerana trio poomsae Wong Zin, Seah Jing Ying dan Yow Mei Yee tidak diletakkan sasaran emas disebabkan situasi mereka baru kali pertama digandingkan pada edisi ke-33 ini.
Trio poomsae itu berjaya mengumpul 8.560 mata untuk menewaskan gandingan Thailand yang diwakili Chutikarn Lapnitayapan, Ratchadawan Tapaenthong dan Chonlakorn Chayawatto pada aksi final di Fashion Island Mall, Bangkok.
Malaysia mara ke final selepas menewaskan Timor Leste di separuh akhir dengan keputusan 8.500 mata berbalas 7.590 mata.

Ia secara tidak langsung menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen negara di bumi Bangkok selepas skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki menjadi penyumbang pertama sebelum itu.
Pastinya, keyakinan skuad taekwondo negara Kembali berada pada tahap tinggi selepas prospek pingat emas negara hilang melalui acara recognized poomsae berpasukan campuran.
Ia susulan keputusan juri yang berat sebelah memihak kepada Thailand menyebabkan Jason Loo dan Nur Humaira Abdul Karim terpaksa menerima hakikat terkandas di suku akhir.
Selain satu emas itu, Malaysia turut meraih dua gangsa melalui Chin Ken Haw dalam acara poomsae gaya bebas individu lelaki dan recognized berpasukan lelaki gandingan Jason, Ken Haw dan Randy Owen Augustine. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – MSN MALAYSIA