PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan mengalungkan pingat emas kepada pemain negara. - FOTO: OLYMPIC COUNCIL OF MALAYSIA
KEJAYAAN skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan SEA Thailand 2025 kali ini sememangnya sudah dijangka.
Ia berdasarkan status skuad negara yang turun ke temasya dwitahunan Asia Tenggara itu sebagai naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024, selepas tewas 2-5 kepada Belanda pada aksi final berlangsung di Muscat, Oman pada 31 Januari tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Malaysia turut membariskan Mohamad Akhimullah Anuar Esook selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Dunia Hoki 5s 2024.

Akhimullah juga pernah membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina dengan status sebagai penjaring terbanyak kejohanan menerusi 22 gol keseluruhan.
Selain Akhimullah, lima lagi pemain juga berpengalaman bermain di final Piala Dunia Hoki 5s seperti Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Arif Syafie Ishak, Kamarulzaman Kamaruddin, Abid Sufian Mat Ruslee dan Syarman Mat Tee
Ternyata, anak-anak buah Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman berada dalam kelas tersendiri sepanjang kejohanan dengan memenangi kesemua perlawanan termasuk menewaskan Indonesia 7-3 pada final di Royal Thai Air Force, Bangkok hari ini (10 Disember).

“Indonesia datang ke sini (Thailand) dengan bimbingan (Muhammad) Dharma Raj (Abdullah) dan Iman Gobi (Gobinathan). Dua bekas pemain kebangsaan yang banyak pengalaman tetapi pemain kita berjaya patahkan serangan lawan.
“Kemenangan ini amat bermakna kerana ia memberikan pingat emas pertama kepada Malaysia. Saya sangat berbangga dengan semua pemain yang menunjukkan keinginan tinggi untuk memenangi pingat emas,” kata Wan Mohd Roslan.
Tujuh gol Malaysia diperoleh menerusi ledakan hatrik Akhimullah, dua jaringan Abid Sufian dan masing-masing satu daripada Luqman Nul Hakim serta Shafiq Ikmal Daniel Suzaini. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – OLYMPIC COUNCIL OF MALAYSIA
1 thought on “Emas pertama Malaysia, Hoki 5s memang kelas dunia”
Comments are closed.