PEARLY (kanan) dan Thinaah menjuarai Kumamoto Masters 2025 selepas menewaskan gandingan Jepun, Ren Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 di pentas final. - FB BADMINTON ASSOCIATION OF MALAYSIA (BAM)
KEJAYAAN Pearly Tan-M. Thinaah menjuarai Kumamoto Masters 2025 baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri buat beregu wanita No.2 dunia itu.
Apa tidaknya, Pearly, 25, dan Thinaah, 27, menjadi pemain badminton pertama dari Malaysia menjuarai kejohanan Super500 di Jepun itu sejak ia mula diperkenalkan pada 2023.
Menariknya, ia adalah gelaran antarabangsa ketiga buat mereka untuk tahun 2025 selepas terdahulu menjuarai Terbuka Thailand (Mei) dan Terbuka Arctic di Finland pada Oktober.
Secara keseluruhan, ia adalah kejuaraan keenam dalam karier beregu wanita No.1 negara itu selepas pernah memenangi Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022 dan Terbuka Hong Kong 2024.
Berdasarkan pencapaian semasa, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu dilihat berada pada tahap terbaik kerana kejayaan menjuarai Kumamoto Masters tersebut adalah kali ketujuh mereka beraksi di pentas final tahun ini.
Selain Terbuka Thailand dan Terbuka Arctic, Pearly-Thinaah turut mara ke final Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia yang kesemuanya berakhir dengan gelaran naib juara.
Ia secara tidak langsung meletakkan naib juara dunia itu di ranking pertama carta Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 yang akan membuka tirainya di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember nanti.
Selepas ini, Pearly-Thinaah akan memberikan sepenuh focus untuk membantu skuad badminton negara meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand bulan depan selepas mengesahkan penarikan diri daripada Terbuka Australia minggu depan. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – BAM