JOJO mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila kali ini menewaskan Yit Naung dengan keputusan sebulat suara. - ONE CHAMPIONSHIP
BINTANG muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih mesra disapa Jojo ternyata dalam kelas tersendiri apabila menumbangkan Ye Yit Naung dari Myanmar pada saingan ONE Friday Fights 141 malam tadi.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Jojo dalam tempoh lima bulan dengan kali ini meraihnya menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan lightweight berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
“Alhamdulillah, terima kasih Allah atas segalanya. Saya rasa bagus, saya nampak bagus dan prestasi saya semakin baik.
“Di luar sana ramai yang mahu bertarung dengan saya tetapi jujurnya kebanyakan mereka bukan sesiapa.
“Apabila kamu menandatangani kontrak menentang Jojo, kamu dapat 15 minit kemahsyuran. Setiap seorang daripada kamu boleh mendapatkannya.
“Get in line, Jojo here to stay (beratur dahulu, Jojo di sini untuk kekal),” kata petarung berusia 19 tahun itu yang pernah menewaskan Zakaria El Jamari dari Maghribi pada September lalu.
Turut mencuri tumpuan pada saingan ONE Championship malam tadi adalah kejayaan seorang lagi petarung muay thai negara, Adam Rakib yang mencatat kemenangan knockout ke atas Walid Snoussi dari Maghribi. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ONE CHAMPIONSHIP & IG JOHANGHAZALI_