GRACE kini berada di China menjalani latihan bersama jurulatihnya, Gu Yuan sebagai persediaan ke Sukan Asia pada September nanti. - OLAHRAGA MALAYSIA
GRACE Wong Xiu Mei ada sasaran besar tahun ini apabila mahu mencipta sejarah sebagai atlet olahraga pertama Malaysia menang pingat di pentas Sukan Asia pada edisi Aichi-Nagoya di Jepun, September nanti.
Sepanjang penyertaan di Sukan Asia sejak kali pertama di Manila 1954, kontinjen negara sudah meraih 344 pingat (69 emas, 109 perak, 166 gangsa) termasuk 8 emas, 8 perak, 21 gangsa telah dimenangi skuad olahraga.
Terinspirasi dengan kejayaan pingat gangsa dimenangi Azeem Fahmi, Shereen Samson Vallabouy & kuartet 4x100m wanita, Grace, 26, mahu mengikut jejak sama walaupun realitinya ia amat sukar.
Keyakinan tersebut berdasarkan pencapaian atlet dari Sarikei, Sarawak itu meraih pingat emas dengan rekod baharu Sukan SEA dan Malaysia, 65.41 meter (m) pada Sukan SEA Thailand 2025 .
“Untuk tahun ini saya mahu fokus Sukan Asia kerana sasaran saya pingat gangsa. Saya rasa 50-50 boleh dicapai, kena perbaiki teknik-teknik kecil yang boleh bantu balingan saya lebih jauh,” kata Grace kepada Podium On Tour.
Pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022, Grace tidak berada pada tahap terbaiknya apabila sekadar membuat 57.46m untuk berada di kedudukan ke-10.
Anak saudara kepada legenda olahraga negara, Wong Tee Kui itu menjadikan kegagalan tersebut sebagai pembakar semangat apabila dia kemudiannya mencipta dua rekod Sukan SEA bermula 61.87m (Kemboja 2023) dan 65.41m (Thailand 2025).
Menariknya, ia secara tak langsung mengatasi catatan pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 dari Korea Selatan, Kim Tae-hui yang membuat balingan sejauh 64.14m.
Realistiknya, podium 1-2 masih terlalu jauh buat Grace yang perlu menewaskan dua pemenang pingat Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik dari China, Wang Zheng serta Zhao Jie.
Wang Zheng – perak Olimpik Tokyo 2020, perak gangsa gangsa Kejohanan Dunia, menjuarai Sukan Asia Hangzhou dengan balingan sejauh 71.53m.
Zhao Jie lebih luar biasa kerana sejak meraih perak Sukan Asia Hangzhou (69.44m), dia hanya sekali mencatat bawah 70m, selebihnya semua 70m ke atas dalam 26 kejohanan pada 2024 dan 2025
Kehebatan itu menyaksikan Zhao Jie berjaya meraih gangsa Olimpik Paris 2024 dan perak Kejohanan Dunia 2025. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – OLAHRAGA MALAYSIA