ADIB AMSYAR (tengah) meraih anugerah pemain terbaik perlawanan akhir Piala Sultan Johor selepas menewaskan Pakistan di Stadium Hoki Taman Daya baru-baru ini. - JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
PEMBANGUNAN bakat muda dalam sukan hoki negara terus menunjukkan perkembangan positif menerusi bimbingan berterusan dan kepakaran kejurulatihan termasuk daripada program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderbolts.
Antara permata baharu semakin menyinar ialah penjaga gol muda, Mohamad Adib Amsyar Mohammad Hanif yang muncul wira skuad hoki remaja negara menamatkan penantian 15 tahun untuk menjuarai Piala Sultan Johor (SOJC) 2026.
Mungkin ramai tidak menyedari Adib pada awalnya bertukar-tukar minit permainan dengan seorang lagi penjaga gol, Haziq Muizzuddin Hairul Mizan sebelum diberi kepercayaan penuh oleh barisan kejurulatihan sebagai penjaga gol No.1.
Ia bermula aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2026 bertemu China diikuti separuh akhir dengan India dan penentuan pingat gangsa menentang Pakistan yang mana Adib dinobatkan sebagai Penjaga Gol Harapan Terbaik kejohanan itu.
Tidak lama kemudian, Adib sekali lagi mempamerkan persembahan memukau, kali ini membantu Young Tigers menjuarai SOJC 2026 sehinggakan dia memenangi Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaga Gol Terbaik kejohanan.
Jurulatih penjaga gol skuad hoki remaja negara, Mohd Hairi Abdul Rahman memuji kecemerlangan Adib yang dilihat berada pada landasan tepat, apatah lagi menang anugerah peribadi dalam dua kejohanan berturut-turutnya.
Bagi Hairi, beliau sentiasa menerapkan setiap penjaga gol — sama ada pilihan utama mahupun kedua — sentiasa bersedia pada bila-bila masa jika diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab di atas padang.
“Selain persediaan dari segi pemakanan, hidrasi dan pemulihan, saya juga selalu tekankan bahawa penjaga gol perlu sentiasa pastikan diri mereka berada dalam keadaan bersiap sedia.
“Kadang-kadang penjaga gol kedua merasakan susah nak dapat peluang tetapi saya tetap ingatkan mereka sebab kita tak tahu bila-bila masa saja ia boleh berlaku. Jadi Adib ambil peluang itu sebaiknya.
“Saya juga sentiasa terapkan hubungan yang baik antara penjaga gol supaya tidak berlaku iri hati atau drama-drama mengarut. Masing-masing perlu ada keyakinan dengan diri sendiri supaya wujudnya persaingan sihat,” katanya.
Kejayaan Adib juga dipacu oleh sistem akar umbi program TNB Thunderbolts yang aktif bergerak ke seluruh negara, termasuk menjalankan klinik hoki serta memberi sokongan kejurulatihan kepada sekolah-sekolah anak angkat.
“Kadang-kadang saya ada terlibat bantu program-program seperti ini terutamanya bahagian penjaga gol. Bagi saya, program ini sangat membantu sebab pendedahan daripada Thunderbolts ini daripada jurulatih yang berpengalaman,” tambah Hairi.
Berdasarkan acuan kejurulatihan mantap yang diterimanya, Adib kini berada di landasan yang tepat untuk diserapkan ke skuad senior negara pada masa hadapan.
“Tugas saya di pasukan remaja, saya kena hasilkan penjaga gol yang layak untuk naik ke skuad senior. Sebelum ini pun sudah ada iaitu Rafaizul Saini yang mana dia pernah menang Penjaga Gol Terbaik Piala Remaja Asia 2024.
“Jadi kita pun mula nampak perkembangan Adib. Tak mustahil satu hari nanti Adib dan Haziq akan dipanggil naik atas (skuad senior),” jelas Hairi.
Ketika ini, Adib bersama skuad remaja menyertai kejohanan jemputan, Piala Emas Murugappa di Chennai, India. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JOHOR HOCKEY ASSOCIATION