DHEERESSH (kanan) turut menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-1 ke atas SAI pada aksi kedua Piala Emas Murugappa hari ini. - MCC MURUGAPPA GOLD CUP
KELETIHAN akibat perjalanan jauh dan jadual padat masih membelenggu skuad hoki remaja negara, namun masih berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas SAI – NCOE, Bhopal dalam aksi kedua Piala Emas Murugappa 2026 di Chennai, India hari ini.
Ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, prestasi pemain masih belum berada pada tahap terbaik apabila faktor keletihan menjejaskan ketajaman penyudah dan kelancaran membuat keputusan di atas padang.
Young Tigers berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya beberapa jam selepas memenangi Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Johor Bahru pada Sabtu malam untuk mengejar penerbangan ke Chennai pada Ahad pukul 9 pagi.
Setibanya di sana, barisan pemain tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana perlu memulakan perlawanan pertama menentang Bharat Petroleum Corporation Ltd (BPCL) pada Isnin yang menyaksikan mereka tewas 0-1.
Begitupun, Nor Saiful mengakui prestasi para pemainnya lebih bagus untuk aksi kedua meskipun mereka boleh memenanginya dengan jaringan lebih besar.
“Pemain masih keletihan dan keadaan otot mereka juga belum pulih sepenuhnya. Sebab itu, penyudah kita kurang kemas dan keputusan yang dibuat di atas padang juga agak perlahan.
“Bagaimanapun, hari ini pemain menunjukkan peningkatan dan kita berjaya menang 2-1. Jika melihat peluang yang dicipta, kita sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol, mungkin empat atau lima,” katanya kepada Podium On Tour.
Beliau berkata, keadaan fizikal pemain dijangka terus menjadi cabaran apabila Malaysia bakal mengharungi satu lagi perlawanan hari ini (28 Oktober) sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan keesokannya (29 Oktober).
“Kita akan cuba mengubah sedikit pendekatan permainan dan melakukan pertukaran pemain dengan lebih kerap bagi mengelakkan mereka terlalu letih.
“Namun, kena tengok juga corak permainan lawan, terutama ketika bertahan kerana kita tidak boleh menetapkan satu pendekatan sahaja untuk setiap perlawanan,” jelas Nor Saiful.
Dua gol skuad remaja negara dijaringkan oleh Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali pada minit ke-14 dan Dheeressh Gunaseelan (m-21), manakala jaringan tunggal SAI pula
dihasilkan oleh Mohammed Zaid Khan (m-42).
Young Tigers akan turun aksi ketiga menentang Hockey Unit of Tamil Nadu hari ini (28 Oktober) dan seterusnya Indian Navy (29 Oktober) dalam usaha memburu tempat dua terbaik Kumpulan B untuk beraksi di separuh akhir. – PODIUM ON TOUR
FOTO – MCC MURUGAPPA GOLD CUP