IZZATUL berjaya mencatat masa 11.72s pada Kejohanan Olahraga B20 Dunia 2026 di Oregon, Amerika Syarikat pada Ogos lalu. - OLAHRAGA MALAYSIA
PELARI pecut wanita negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira layak menjadi inspirasi terbaik buat pelajar-atlet berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam akademik dan sukan.
Memandangkan musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 telah bermula pada 26 Oktober lalu, Podium On Tour berkongsi kisah dan pengalaman Izzatul yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 9A SPM 2025.
“Ia tahun yang sangat sukar tetapi saya berjaya buktikan pelajar-atlet boleh berjaya dalam kedua-dua bidang,” kata Izzatul yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu.
ARTIKEL INI DIBAWAKAN OLEH TAVIS – PLATFORM PEMBELAJARAN DIGITAL UNTUK SEMUA
Tahun 2025 menjadi antara tahun paling mencabar buat Izzatul apabila dia bukan sahaja perlu memberikan komitmen terhadap latihan dan pertandingan olahraga, malah turut berdepan tuntutan akademik yang memuncak menjelang SPM.
Namun, dia berjaya mengharungi cabaran itu dengan penuh bergaya apabila muncul Olahragawati Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 selepas meraih empat pingat emas berserta empat rekod baharu kejohanan.
Lebih membanggakan, kejayaan itu disusuli pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM apabila dia memperoleh keputusan 9A, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap sukan tidak pernah mengorbankan kecemerlangan akademik.
“Pelajaran sangat penting kerana dengan keputusan akademik yang stabil, ia mampu membantu atlet memperoleh pelbagai manfaat untuk terus berjaya ketika menyambung pelajaran serta melibatkan diri dengan sukan,” jelasnya kepada Podium On Tour.
Pencapaian luar biasa itu tidak hadir dengan mudah, sebaliknya ia menuntut pengorbanan, disiplin dan pengurusan masa yang tinggi daripada Izzatul yang meraih perak 100 meter (m) dan emas 200m Terbuka Malaysia 2026.

“Saya pernah bertembung dengan trial SPM, namun situasi itu mengasah kreativiti saya untuk mengatur masa serta mengutamakan topik-topik pembelajaran sebaiknya.
“Saya juga akan meminta latihan daripada cikgu dan menjawab latihan menerusi bank soalan jika saya ada ruang ketika kejohanan mahupun latihan.
“Pada saya, untuk seimbangkan sukan dan akademik, saya menekankan pengurusan masa yang efektif dengan memaksimumkan segala peluang dan ruang untuk berlatih serta belajar secara produktif.
“Untuk mendapatkan rehat yang cukup setiap hari adalah cabaran kepada saya kerana menjadi pelajar sasaran dan atlet harapan adalah tanggungjawa yang perlu direalisasikan,” jelas ratu pecut berganda Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 itu.
Rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi sebelum menghadiri sesi persekolahan dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang termasuk kelas tambahan.
Sebaik tamat persekolahan, Izzatul meneruskan latihan olahraga dari 4.45 petang hingga 6.30 petang sebelum memperuntukkan waktu di sebelah malam untuk pemulihan dan mengulang kaji pelajaran.

Dalam masa sama, Izzatul mengakui, ada kalanya dia berdepan keletihan, tekanan dan keserabutan apabila pelbagai tanggungjawab perlu diselesaikan serentak, selain cabaran mendapatkan rehat yang mencukupi setiap hari.
“Semestinya pernah tertekan apabila banyak perkara perlu diselesaikan serentak serta harapan ramai pihak mahu melihat saya berjaya dalam sukan dan akademik.
“Banyak perkara saya buat untuk kekalkan pemikiran positif antaranya dengar lagu untuk tenangkan fikiran dan ingat semula niat saya untuk melakukan semua ini agar saya tidak terpesong daripada sasaran sebenar,” tambahnya.
Segalanya berbaloi apabila berjaya meraih 9A SPM dan meneruskan kecemerlangan itu dalam tahun ini apabila beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Izzatul yang kini menyambung pengajian dalam Diploma Sukan dan Rekreasi di Kolej Universiti TATI, Kuala Terengganu bakal turun mengambil bahagian dalam temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Kuala Lumpur 2026 bulan depan.
Pemegang rekod 100m B20 kebangsaan dengan catatan peribadi 11.71 saat (s) itu turut meletakkan impian untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA Malaysia 2027. – PODIUM ON TOUR
FOTO – OLAHRAGA MALAYSIA
