AZIMUDDIN menunjukkan reaksi gembira selepas meledak satu gol dalam kemenangan 6-1 ke atas Bangladesh pada aksi ketiga ACT 2026 semalam. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
BINTANG muda skuad hoki negara, Azimuddin Syakir Kamaruddin semakin menunjukkan perkembangan yang sangat positif berdasarkan prestasi semasa dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India ketika ini.
Apa tidaknya, ini kali pertama dalam karier Azimuddin berjaya meledak tiga gol – dua pukulan sudut penlati dan satu jaringan padang – dalam tiga aksi berturut-turut bermula aksi menentang China, Korea Selatan dan Bangladesh.
Kecemerlangan itu tidak langsung melonjakkan keyakinan pemain berusia 21 tahun tersebut untuk terus memberikan persembahan terbaik bagi membantu Speedy Tigers mencapai matlamat pada kejohanan berkenaan.
Tidak mustahil Azimuddin mampu mengekalkan momentum sama apabila turun menentang juara bertahan dua edisi berturut-turut, India dalam aksi keempat di Stadium Hoki Surjit esok sebelum bertemu Jepun sehari kemudian (2 November).
“Bagi saya faktor utamanya adalah dari segi keyakinan apabila saya bermain, disiplin bila berada di atas padang dan banyak mengulang kaji daripada corak permainan sendiri.
“Saya juga gunakan pengalaman saya daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini, jadi dari situ ia menambahkan lagi kepercayaan untuk saya terus berikan prestasi terbaik apabila diturunkan bermain,” katanya kepada Podium On Tour.
Menariknya, Azimuddin kini menjadi penjaring kedua terbanyak negara di pentas ACT 2026 bersama Akhimullah Anuar Esook yang mana mereka berdua cuma ketinggalan satu gol di belakang Azrai Aizad Abu Kamal.
Penjaring terbanyak kejohanan ketika ini ialah pakar flick India, Harmanpreet Singh dengan lima gol.
Kecemerlangan ditunjukkan anak-anak buah Brendon Carolan menyaksikan mereka kini di tangga kedua, terikat sembilan mata sama dengan pendahulu, India yang memiliki kelebihan dari segi jumlah perbezaan gol. – PODIUM ON TOUR
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION