BARISAN pemain dalam keadaan motivasi dan semangat tinggi menghadapi ACT 2026 susulan kejayaan memenangi pingat perak Sukan Asia 2026. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mencabar barisan pemain skuad hoki senior lelaki negara menewaskan India di laman mereka sendiri pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026.
Speedy Tigers antara enam negara termasuk India selaku tuan rumah, Jepun, Korea Selatan, China dan Bangladesh bakal bersaing pada ACT 2026 yang akan berlangsung di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November ini.
Subahan melontarkan cabaran itu ketika majlis makan malam meraikan pencapaian skuad lelaki negara meraih pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Passage Thru India, Bukit Bintang baru-baru ini.
Cabaran itu disambut baik pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak yang turut menggesa barisan pemain agar mengekalkan momentum Sukan Asia 2026 dengan harapan mampu meraih pencapaian positif di ACT kali ini.
“Pencapaian sebagai naib juara Sukan Asia perlu menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan momentum kemenangan.
“Saya mahu pemain beraksi secara konsisten, mengekalkan prestasi terbaik dan turun dengan penuh keyakinan untuk menyahut cabaran menewaskan India di laman sendiri.
“Kita perlu membuktikan kemampuan Malaysia sebagai antara pasukan terbaik Asia dan menamatkan kejohanan ini dengan kedudukan lebih baik berbanding edisi lalu,” katanya.
Kali terakhir Speedy Tigers menewaskan India adalah pada separuh akhir Sukan Asia Jakarta 2018 dengan keputusan 7-6 menerusi penentuan penalti shoot-out setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Untuk tempoh 60 minit sebenar permainan, Malaysia pernah menang 3-2 di suku akhir Semi Final Liga Hoki Dunia 2017, manakala pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan India menang 5-1 di final Sukan Asia 2026 awal bulan ini.
Pencapaian terbaik Malaysia di pentas ACT adalah muncul naib juara di Chennai pada 2023, manakala edisi terakhir di Hulunbuir, China dua tahun lalu menyaksikan Speedy Tigers meraih tempat keenam. – PODIUM ON TOUR
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION