ADAM ASHRAF (depan) merupakan watak Utama kejayaan skuad remaja negara melangkah ke final SOJC buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 2013. - JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
SKUAD hoki remaja negara mendapat tonik terbaik apabila arkitek tengah, Muhammad Adam Ashraf Johari diberikan ‘lampu hijau’ untuk terus kekal beraksi sehingga final Piala Sultan Johor (SOJC) 2026.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak kepada Podium On Tour.
Semalam, ketua jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mendedahkan bahawa Adam berkemungkinan besar terlepas aksi terakhir liga sepusingan SOJC 2026 menentang Kanada esok dan final pada Sabtu ini.
Ini disebabkan Adam tersenarai dalam barisan 20 pemain skuad senior kebangsaan menghadapi saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November ini.
“Adam boleh main final (SOJC) dan dia akan terbang ke India pada 25 Oktober. Pasukan senior akan berlepas pagi esok (23 Oktober) sebab perlawanan pertama kita menentang China pada 27 Oktober,” kata Najmi kepada Podium On Tour.
Ia pastinya meningkatkan motivasi dan semangat para pemain untuk memburu gelaran SOJC selepas kali terakhir Malaysia menjuarainya ketika edisi pertama 2011.
Sebagai rekod, Young Tigers mengesahkan tiket awal ke pentas final meskipun berbaki satu lagi perlawanan round robin selepas menang 3-2 ke atas Pakistan semalam, sekali gus merekodkan tiga kemenangan bersih setakat ini. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JOHOR HOCKEY ASSOCIATION