SKUAD hoki negara masih segar dengan kejayaan memenangi pingat perak Sukan Asia 2026. - MHC
SKUAD hoki senior lelaki negara membawa misi memperbaiki pencapaian terdahulu apabila turun beraksi pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak mahu skuad negara mengekalkan momentum selepas muncul naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ia sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia untuk terus bersaing dalam kelompok terbaik Asia.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa pemain menyahut cabaran Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal untuk mencipta kejutan dengan menewaskan India di laman sendiri, selain mengekalkan konsistensi sepanjang kejohanan.
“Pencapaian sebagai naib juara Sukan Asia perlu menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan momentum kemenangan.
“Saya mahu pemain beraksi secara konsisten, mengekalkan prestasi terbaik dan turun dengan penuh keyakinan untuk menyahut cabaran menewaskan India di laman sendiri.
“Kita perlu membuktikan kemampuan Malaysia sebagai antara pasukan terbaik Asia dan menamatkan kejohanan ini dengan kedudukan lebih baik berbanding edisi lalu,” katanya.
Malaysia mengekalkan barisan pemain yang beraksi pada Sukan Asia 2026 dengan Norsyafiq Sumantri menjadi satu-satunya pemain yang tidak menyertai kempen di Punjab akibat kecederaan biceps.
Tempatnya digantikan oleh Muhammad Adam Asyraf Johari yang tidak disenaraikan dalam skuad Sukan Asia.
Enam negara iaitu Malaysia, India selaku tuan rumah, Jepun, Korea Selatan, China dan Bangladesh bakal bersaing pada edisi kali ini.
Perlawanan round robin akan berlangsung di Stadium Hoki Olimpian Surjit Singh, manakala perlawanan penentuan kedudukan dijadualkan di Stadium Hoki Antarabangsa Olimpian Balbir Singh.
Malaysia akan membuka tirai kempen menentang China pada 27 Oktober, diikuti Korea Selatan (29 Oktober), Bangladesh (30 Oktober), India (1 November) dan Jepun (2 November) dalam saingan liga satu pusingan. – PODIUM ON TOUR
SENARAI 20 PEMAIN SPEEDY TIGERS KE ACT 2026

FOTO – MHC