MAJLIS penajaan antara pihak Skechers dan MOM sebagai penaja kasut rasmi kontinjen negara ke Sukan SEA Thailand 2025.
SETIAP atlet Malaysia yang akan beraksi di temasya Sukan SEA Thailand 2025 bakal diberikan dua pasang kasut jenama Skechers apabila turun bersaing dari 9 hingga 20 Disember ini.
Pemilihan Skechers sebagai penaja kasut rasmi kontinjen negara secara tidak langsung mampu menyemarakkan semangat barisan atlet apabila menggayakannya pada upacara pembukaan dan aktiviti sebelum turun ke gelanggang.
Pengarah Urusan Skechers Asia Tenggara, Zann Lee berbangga pihaknya dapat terus kerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan berharap ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan atlet-atlet negara.
“Di Skechers, kami percaya keselesaan dapat memperkasakan prestasi. Kami mahu terus berikan sokongan kerana kami berbangga berdiri di belakang atlet-atlet kebangsaan yang membawa semangat kecemerlangan ke peringkat serantau,” katanya.

Skechers akan menyediakan 2,000 pasang kasut membabitkan model Max Cushioning Premier 2.0 dan GOrun Elevate 2.0 (lelaki), manakala Max Cushioning Elite 2.0 serta GOrun Elevate 2.0 (Wanita) dengan nilai tajaan berjumlah RM922,538.
Penajaan yang merupakan susulan kerjasama antara Skechers dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Sukan Olimpik Paris 2024, bukan hanya buat Sukan SEA Thailand tetapi diteruskan sehingga 2028.
“Kerjasama jangka panjang ini menggambarkan komitmen bersama untuk memartabatkan sukan Malaysia dan menyokong atlet secara konsisten di pelbagai peringkat antarabangsa,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali.

Ia turut melibatkan empat temasya besar tahun depan iaitu Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina, Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Olimpik Remaja Dakar dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Baki dua lagi temasya seterusnya iaitu Sukan SEA Malaysia 2027 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – PODIUM ON TOUR
SUMBER FOTO – OLYMPIC COUNCIL OF MALAYSIA