SKUAD negara terpaksa akur dengan kekalahan 1-5 kepada Jerman dalam aksi pertama Piala Dunia 2026. - MHC
TIGA gol dalam tempoh lapan minit pertama menjadi antara faktor kekalahan 1-5 skuad hoki negara kepada juara bertahan, Jerman dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Arena Hoki Belfius, Wavre, Belgium sebentar tadi.
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Brendon Carolan kecewa dengan situasi itu, namun merasakan anak-anak buahnya mampu memberikan prestasi lebih positif dalam perlawanan tersebut.
“Ketinggalan 3-0 pada awal perlawanan sudah tentu mengecewakan dan saya rasa kami boleh beraksi lebih baik hari ini. Sudah agak lama sejak kami bermain menentang pasukan lima terbaik dunia.
“Gerakan serangan kami menunjukkan perkara positif, sekurang-kurangnya mencipta beberapa peluang dalam kawasan D dan pukulan sudut penalti. Saya fikir ia satu peningkatan berbanding kali terakhir kami menentang mereka.
“Namun, keputusan hari ini bukanlah seperti dimahukan. Semakin kerap kami bermain dengan pasukan lima teratas dunia, semakin baik prestasi kami nanti,” katanya.
Gol pertama Jerman diperoleh seawal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti daripada Jakob Brilla sebelum juara Eropah itu menggandakan kedudukan berselang seminit kemudian.
Speedy Tigers cuba membuat bantahan dengan mendakwa bola berbahaya (dangerous ball) daripada Jerman selain berlakunya kekasaran terhadap ketua pasukan, Marhan Jalil.
Bagaimanapun, Video Referral diminta skuad negara tidak diterima oleh pengadil yang mengesahkan jaringan kedua Jerman itu daripada Christopher Ruhr pada minit kelima.
Tidak lama kemudian, Justus Weigand meledak gol ketiga buat pasukan No.5 dunia itu pada minit kelapan.
Usaha skuad bimbingan Brendon Carolan itu mencari sekurang-kurangnya satu gol akhirnya berjaya menerusi satu gerakan pukulan sudut penalti daripada Faizal Saari yang ditampan masuk oleh Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-40.
Cubaan Speedy Tigers untuk cuba mengejar Jerman dalam aksi itu bagaimanapun tidak berjaya, sebaliknya pasukan lawan pula menambah dua lagi gol, Justus Warweg (m45) dan Paul-Philipp Kaufman pada minit ke-53.
Biarpun melepaskan lima gol, namun penjaga gol Speedy Tigers, Muhammad Zaimi Mat Deris yang membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia, tetap beraksi cemerlang menafikan lebih banyak jaringan buat Jerman. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – FIH / MHC