ZAMBRY merasmikan edisi ketujuh SUKIPT 2026 di UM Arena malam tadi. - SUKIPT 2026
BUKAN sahaja pingat tetapi imbuhan menarik turut ditawarkan buat atlet-atlet bertanding pada edisi ketujuh Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 termasuk jumlah keseluruhan insentif RM20,000 jika memecahkan rekod kebangsaan.
Ia satu suntikan semangat terbaik buat atlet-atlet memberikan prestasi terbaik terutama acara olahraga yang akan memulakan saingan di Universiti Malaya (UM) Arena dari 31 Ogos hingga 3 September ini.
Tidak mustahil rekod olahraga baharu kebangsaan mampu tercipta di pentas SUKIPT kerana Muhammad Fakhrul Afizul Nasir dari UPM telah membuktikannya dengan masa 50.53 saat (s) dalam acara 400 meter lari berpagar semasa saingan Varsity Track & Field (VTF) 2 di Terengganu pada Jun lalu.
Sebagai galakan kepada kecemerlangan, SUKIPT 2026 turut menyediakan insentif lain berjumlah RM3,000 bagi Olahragawan dan Olahragawati, RM7,000 bagi Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita.
SUKIPT 2026 membuka tirainya secara rasmi malam tadi dengan tema ‘Mencipta Legasi Juara’, memperkukuh peranannya sebagai medan pembangunan bakat sukan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berpotensi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di UM Arena yang turut menyaksikan perarakan kontinjen, upacara menaikkan bendera kejohanan, bacaan ikrar, nyalaan obor serta persembahan kebudayaan.
SUKIPT 2026 menghimpunkan 64 kontinjen terdiri daripada 20 universiti awam, 42 universiti atau institusi pendidikan tinggi swasta, sebuah politeknik dan sebuah kolej komuniti bersaing dalam 30 jenis sukan.
Upacara perasmian turut menyaksikan pemain pickeball UM, Muhammad Farreez Isqandar Abdul Rais tampil sebagai pembaca ikrar atlet, manakala obor ikonik SUKIPT dibawa secara larian berganti-ganti.
Atlet-atlet itu ialah Nur Humaira Abdul Karim (taekwondo), Jonah Chang Rigan (olahraga), Nurul Aliana Syafika Azizan (berbasikal), Elena Goh Ling Yin (olahraga) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin (badminton) melambangkan semangat, kesatuan serta perjuangan atlet dalam mencipta legasi juara.
Pencapaian atlet IPT di pentas antarabangsa menjadi bukti potensi yang boleh terus dikembangkan, termasuk sumbangan 31 emas, 20 perak dan 36 Gangsa Sukan SEA Bangkok, selain kejayaan pada Sukan Universiti Dunia dan Sukan Komanwel.
SUKIPT 2026 akan melabuhkan tirai pada 6 September 2026 menerusi Majlis Penutupan Rasmi di Dewan Tunku Canselor (DTC), UM yang akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Melalui SUKIPT 2026, KPT mahu memastikan bakat di peringkat IPT tidak terhenti selepas tamat kejohanan, sebaliknya terus dibangunkan sehingga mampu berdiri di podium mewakili Malaysia. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – SUKIPT 2026