Skip to content

Podium On Tour

Primary Menu
  • Home
  • Olahraga
  • Hoki
  • Bola Sepak
  • Badminton
  • Sukan Lain
  • XTRA
  • Kenali Kami
  • Hubungi
Light/Dark Button
  • Hoki
  • Xtra

Anak ibu tunggal raih Pingat Emas Razlan Putra

podiumontour December 5, 2025 3 minutes read
asfarina anak ibu tunggal

ASFARINA bertekad merampas semula pingat emas hoki dalam dewan pada edisi kali ini selepas tewas di final sewaktu penganjuran 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

DIBESARKAN oleh ibu tunggal yang cekal, graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun membuktikan ilmu dan sukan mampu mengubah masa depan apabila meraih Pingat Emas Razlan Putra.

Ia sekali gus membakar semangatnya untuk membantu skuad hoki dalam dewan kebangsaan di Sukan SEA Thailand 2025.

Nor Asfarina, graduan Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan berkata, pengorbanan ibunya, Isayikilla Abdullah, 56, menjadi pendorong utama untuk dia memperbaiki diri dan keluar daripada kepompong kesusahan hidup.

“Saya membesar dalam keluarga yang bukan senang. Satu cara untuk membanggakan ibu saya adalah dengan memperbaiki diri dan memastikan masa depan saya lebih baik.

“Tuhan melindungi dan merancang perjalanan hidup saya dengan sangat baik dan saya bersyukur kerana sukan telah membawa saya ke tahap ini,” katanya ketika ditemui selepas penganugerahan sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 pada 29 November lalu.

Atlet hoki negara itu mula mengenali sukan hoki seawal usia 11 tahun selepas gurunya memperkenalkan sukan berkenaan. Pada ketika itu, dia sering berada di sekolah pada waktu petang kerana ibunya bekerja dan tidak mahu membuang masa tanpa hala tuju.

ASFARINA (kanan) bergambar kenangan bersama ibunya setelah menerima anugerah Pingat Emas Razlan Putra di Majlis Konvokesyen UPM ke-49 pada 29 November lalu.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang hoki pada mulanya, tetapi dari situlah saya jatuh cinta dengan sukan ini dan ia memberi saya arah yang jelas. Hoki telah membawa saya hingga ke ‘Menara Ilmu’ ini,” katanya.

Kini, Nor Asfarina giat menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025, dengan tekad menghadiahkan aksi terbaik buat negara.

Mengulas bagaimana beliau mengimbangi jadual latihan intensif dengan tuntutan akademik, Nor Asfarina menegaskan bahawa minat dan disiplin menjadi kunci utama.

“Cara untuk mengekalkan disiplin adalah dengan benar-benar menyukai apa yang kita lakukan. Memang berat untuk belajar sambil menjalani latihan, tetapi saya memupuk minat dalam sukan hoki dan pada masa sama memberi komitmen penuh kepada pelajaran,” katanya.

Dia mengakui pernah berasa rendah diri apabila berentap dengan atlet yang mempunyai pencapaian lebih besar, namun keyakinannya kembali teguh apabila sentiasa percaya bahawa rezeki tidak pernah tersalah alamat.

“Segala yang saya capai hari ini adalah untuk diri saya dan untuk ibu saya dan saya mahu terus maju serta memberikan yang terbaik dalam sukan dan bidang akademik,” katanya.

ASFARINA (tengah) menerima Pingat Emas Razlan Putra daripada Sultan Sharafuddin Idris Sah sambil disaksikan ibunya (kanan) di Majlis Konvokesyen UPM pada 29 November lalu.

Mengimbas cabaran yang pernah dihadapi, Nor Asfarina berkata dia perlu berulang-alik ke UCTC Sentul untuk sesi latihan walaupun mempunyai kelas pada waktu pagi di UPM.

“Lokasi latihan agak jauh tetapi apa-apa pun saya tetap akan utamakan kelas dan saya sanggup berulang-alik walaupun meletihkan,” katanya.

Sebagai atlet, dia bersyukur kerana elaun sukan serta pendapatan daripada bermain kelab sekitar RM1,200 sebulan membolehkannya menampung kos sara hidup, membayar yuran pengajian serta tinggal di kolej kediaman. Pada semester kedua, beliau turut menerima biasiswa.

Selepas konvokesyen, fokus utama Nor Asfarina adalah untuk memberikan komitmen penuh dalam latihan bersama skuad negara menjelang Sukan SEA Thailand 2025, di samping merancang masa depan akademiknya. Kini, beliau merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.

“Ini bukan penamat, tetapi permulaan baharu. Saya mahu terus mengangkat nama Malaysia dalam sukan hoki dan pada masa sama membina masa depan yang lebih baik melalui pendidikan,” katanya. – PODIUM ON TOUR

Post navigation

Previous: Ijazah di tangan, pemain hoki buru emas Sukan SEA
Next: Juara dunia woodball sandaran Malaysia

Related Stories

Dheeressh piala remaja asia
  • Hoki

Dheeressh dedikasikan sempena hari lahir ibu

podiumontour August 30, 2026
SUKIPT
  • Xtra

Insentif RM20,000 pecah rekod kebangsaan di SUKIPT 2026

podiumontour August 29, 2026
Sukan Asia
  • Hoki

Speedy Tigers janji kebangkitan di Sukan Asia

podiumontour August 28, 2026

Recent Posts

  • Jing Xuan raih emas, pecah rekod SUKIPT
  • Dheeressh dedikasikan sempena hari lahir ibu
  • Insentif RM20,000 pecah rekod kebangsaan di SUKIPT 2026
  • Speedy Tigers janji kebangkitan di Sukan Asia
  • Tempat ke-16 Piala Dunia cemari peningkatan Speedy Tigers
  • YouTube
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok
  • Threads
© 2026 PODIUM ON TOUR All rights reserved. | MoreNews by AF themes.