DUA pemain negara, Zati Alyani Muhamad Zubir (kiri) dan Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha (kanan) cuba menyekat kemaraan pemain China dalam pertemuan hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
BIARPUN tewas, tetapi skuad hoki wanita negara tetap berjaya mengekang finalis Sukan Olimpik Paris 2024, China daripada merakam kemenangan besar dalam aksi ketiga Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
China yang ketika ini di ranking keempat dunia, mencatat kemenangan 4-0 ke atas Malaysian Tigress dan ia satu petanda positif bagi kem negara jika dibandingkan dua kemenangan pasukan China sebelum ini dengan membelasah Bangladesh 13-0 dan Taiwan 10-0.
Ketua Jurulatih skuad negara, C.R. Kumar menjelaskan bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk menewaskan China tetapi beliau berbangga dengan disiplin tinggi para pemainnya mengekang pilihan utama kejohanan itu.
“Saya pernah beritahu dalam sidang media sebelum ini, jika kami tidak boleh menguasai China, sekurang-kurangnya kami perlu cuba mengawal mereka sehabis baik dengan menggunakan apa cara sekalipun.
“Sudah tentu ada beberapa kesilapan di barisan pertahanan yang mungkin ia boleh dielakkan. Namun, ia bukan mudah beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan No.4 dunia.
“Saya percaya pemain menunjukkan aksi berpasukan yang bagus, mendengar arahan dan boleh dikatakan hari ini adalah permainan terbaik mereka,” katanya.
Empat gol China dalam aksi di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini diperoleh menerusi dua pukulan sudut penalti (PC) Zhong Jiaqi pada minit ke-25 dan 44 selain satu jaringan padang Yu Anhui (m-2) serta Zhang Ying (m-47, PC).
Malaysian Tigress kini di tangga ketiga Kumpulan A dan wajib menewaskan Taiwan serta satu lagi pasukan pilihan, Korea Selatan dalam baki dua aksi terakhir jika mahu menyambar slot ke peringkat separuh akhir.
“Para pemain tahu perkara ini dan mereka menunjukkan peningkatan dalam setiap hari. Saya harap mereka teruskan momentum dan menang ke atas Taiwan serta Korea Selatan untuk capai sasaran ke separuh akhir,” jelas Kumar. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION