SAFWAN (tengah) meraikan jaringan penyamaannya buat Malaysia dalam kemenangan 3-2 ke atas Pakistan hari ini. - JOHOR HOCKEY ASSOCIATION
PENANTIAN panjang 13 tahun skuad hoki remaja negara untuk beraksi di pentas final Piala Sultan Johor (SOJC) sejak kali terakhir pada 2013 akhirnya terlerai pada edisi ke-14 kali ini.
Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan dramatik 3-2 ke atas Pakistan dalam perlawanan yang berlangsung penuh drama yang menyaksikan pemain pasukan lawan, Rana Waleed dilayangkan kad merah.
Dalam aksi di Stadium Hoki Taman Daya itu, Young Tigers terlebih dahulu ketinggalan 1-2 kepada Pakistan hasil dua jaringan Adeel pada minit ke-36 dan 42, manakala gol Malaysia dihasilkan Naaveennash Paniker S Thevendra (m-21).
Kad merah diterima Rana pada minit ke-51 memudahkan tugas Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan yang kemudiannya menghasilkan dua gol dalam tempoh dua minit.
Dua gol itu berjaya dijaringkan oleh Muhammad Safwan Salihe dan Naaveennash masing-masing pada minit ke-55 serta 57.
Ketua jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan perlawanan itu sebagai pengalaman berharga buat pemainnya terutama dalam mengendalikan tekanan dan situasi mencabar ketika memburu kemenangan.
“Perlawanan hari ini agak dramatik. Kita tengok ada pemain dilayangkan kad merah, berlaku insiden pemain dipukul dan dua kad kuning turut dilayangkan kepada mereka.
“Di penghujung permainan, nasib sedikit menyebelahi kita apabila mereka hanya mempunyai lapan pemain di atas padang dan kita berjaya menjaringkan gol untuk menang 3-2.
“Ini satu pengalaman buat pemain-pemain muda dan saya fikir kita dah lama tak ke final. Saya ucapkan tahniah buat para pemain,” katanya.
Kali terakhir Young Tigers melangkah ke pentas final kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu sewaktu edisi 2013.
Dalam masa sama, Nor Saiful mengingatkan para pemain supaya tidak dibuai dengan kejayaan itu memandangkan mereka masih berbaki satu perlawanan liga sepusingan menentang Kanada pada Jumaat ini. – PODIUM ON TOUR
FOTO – JOHOR HOCKEY ASSOCIATION