HAFIZUDDIN mahu membuktikan dia masih relevan beraksi di pentas tertinggi buat Speedy Tigers. - MHC/ACK SPORTS PHOTOGRAPHY
PENJAGA gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman bertekad merebut semula status No.1 ke saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November ini.
Hafizuddin, 34, kini jatuh sebagai pilihan kedua di belakang Muhammad Zaimi Mat Deris dalam dua kejohanan terakhir Speedy Tigers, Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium (Ogos) dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini.
Bagaimanapun, penjaga gol Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu tidak terasa hati tetapi menganggapnya sebagai satu persaingan sihat yang mana menuntutnya untuk terus perbaiki diri dan berikan prestasi lebih positif.
“Rasa frust ada tetapi saya perli lihat semula apa kesilapan dan kelemahan saya untuk saya perbaikinya ke arah yang lebih baik.
“Saya akan cuba rebut semula tempat sebab tahun ini ada dua lagi kejohanan, ACT dan Piala Sultan Azlan Shah.
“Kalau diberi peluang bermain, saya akan berikan yang terbaik dan buktikan saya masih relevan lagi,” katanya kepada Podium On Tour.
Biarpun ‘lama’ tidak beraksi dalam kesebelasan utama di pentas antarabangsa, tetapi refleks Hafizuddin masih pantas apabila dia muncul wira kemenangan 2-1 THT ke atas UiTM HA-KPT dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.
Sebagai rekod, Speedy Tigers sudah kembali menjalani latihan minggu ini dalam persiapan ke ACT 2026 selepas tamat cuti rehat sejak pulang daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang menyaksikan mereka memenangi pingat perak.
Skuad bimbingan Brendon Carolan akan membuka tirai ACT 2026 menentang China di Stadium Surjit Singh pada 27 Oktober ini diikuti Korea Selatan (29 Oktober), Bangladesh (30 Oktober), India (1 November) dan Jepun (2 November).
Pencapaian terbaik Speedy Tigers di pentas ACT adalah muncul naib juara pada edisi Chennai 2023. – PODIUM ON TOUR
FOTO – MHC/ACK SPORTS PHOTOGRAPHY