AKHIMULLAH pernah meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 dengan status sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
KEJAYAAN menggenggam ijazah menjadi suntikan semangat dan keyakinan baharu buat lima graduan Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bakal membawa misi mengibarkan Jalur Gemilang di Sukan SEA Thailand 2025 di Thailand pada 9 hingga 20 Disember ini.
Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhamad Izham Azhar, Muhajir Abdu Rauf, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Muhibuddin Moharam bukan sahaja menggenggam skrol ijazah, malah akan segera kembali menjalani persiapan akhir sebelum berlepas ke Thailand mewakili Malaysia.
Bagi Akhimullah yang juga tonggak skuad hoki negara, kejayaan menamatkan pengajian dalam Bachelor Komunikasi dengan Kepujian di UPM dianggap sama manis dengan pingat emas yang pernah diraihnya di Sukan SEA 2023.
“Saya ada kelas, tugasan, perlawanan dan latihan. Memang cukup untuk membuat sesiapa pun rasa tertekan, tetapi saya tangani semuanya dengan disiplin tinggi dan perancangan masa yang baik. Alhamdulillah, saya berjaya grad walaupun jadual saya padat,” katanya.
Di Thailand nanti, Akhimullah akan menyarung jersi negara dalam acara hoki lima sebelah (5s) bersama Arif Syafie dan Muhibuddin selepas mereka bertiga pernah membantu Malaysia muncul naib juara Piala Dunia 5s 2024.
“Sasaran saya dan pasukan tetap emas. Ini platform untuk buktikan kemampuan dalam format baharu. Kami pelbagaikan taktikal dan fokus sepenuhnya untuk setiap perlawanan,” jelasnya.
Akhimullah yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Dunia 5s 2024 mengakui bukan mudah mengimbangi status sebagai atlet kebangsaan dan pelajar universiti, lebih-lebih lagi apabila terlibat dengan kejohanan atau latihan di luar negara.
“Jika saya ada kejohanan atau latihan luar negara, saya akan terus berhubung dengan rakan sekelas dan pensyarah supaya tidak tertinggal.
“Komunikasi kunci paling penting, selagi saya berhubung dengan pensyarah dan rakan sekelas, saya masih boleh susun semula jadual dan kejar apa yang tertinggal. Walau sesibuk mana pun dengan latihan dan perlawanan, pelajaran tetap menjadi tanggungjawab utama,” ujarnya.

Katanya, ada masa beliau hampir berasa ingin mengalah, namun kekuatan mental dan tujuan asal sentiasa menjadi pendorong untuk bangkit semula.
Dalam pada itu, Izham Azhar yang akan mewakili negara dalam misi mempertahankan pingat emas hoki dalam dewan, juga menganggap kejayaan menggenggam ijazah Bacelor Komunikasi dengan Kepujian di UPM hasil pengorbanan dan latihan berbulan-bulan.
Bagi Muhajir Abdu Rauf yang akan beraksi dalam skuad hoki padang negara, turut menyimpan impian sama dengan membawa pulang emas untuk Malaysia.
“Bagi mencapai kejayaan, tidak kira dalam bidang sukan atau pendidikan, jangan pernah berputus asa. Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan dalam hidup,” ujarnya.
Kesemua mereka turut menzahirkan penghargaan kepada UPM atas sokongan berterusan terhadap pembangunan atlet, sama ada dari segi kemudahan, fleksibiliti akademik mahupun sokongan moral.
“UPM sentiasa menyokong atlet melalui kemudahan sukan lengkap, fleksibiliti akademik serta sokongan moral daripada pensyarah dan pegawai sukan. Semua itu membantu kami kekal seimbang dalam sukan dan pelajaran,” kata Akhimullah.
Sebagai pesanan kepada pelajar lain yang juga bergelar atlet, Akhimullah menegaskan bahawa disiplin dan kesungguhan adalah kunci utama.
“Jangan terlalu risau. Ramai atlet berjaya kerana mereka bijak membahagikan masa antara pelajaran dan latihan. Waktu belajar, fokus dan belajarlah bersungguh-sungguh, waktu latihan, berikan komitmen sepenuhnya. Kalau malas, memang sukar untuk capai kejayaan, tetapi jika rajin dan konsisten, insya-Allah hasilnya akan muncul,” ujarnya. – PODIUM ON TOUR