Skip to content

Podium On Tour

Primary Menu
  • Home
  • Olahraga
  • Hoki
  • Bola Sepak
  • Badminton
  • Sukan Lain
  • XTRA
  • Kenali Kami
  • Hubungi
Light/Dark Button
  • Olahraga

Andre pembawa Jalur Gemilang, buru hatrik emas

podiumontour December 5, 2025 2 minutes read
andre anura

ANDRE (kiri) dan atlet para powerlifting, Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada Sukan SEA 2025.

PEMEGANG rekod kebangsaan, Andre Anura Anuar mendapat tonik keyakinan terbaik dalam misinya memburu pingat emas hatrik Sukan SEA apabila menggalas peranan sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi edisi Thailand 2025.

Andre, 26, dilihat bersemangat tinggi untuk turun mempertahankan dua pingat emas lompat kijang dimenanginya sewaktu edisi Hanoi 2021 di Vietnam dan Phnom Penh 2023 di Kemboja.

Kepercayaan diberikan kepada Andre untuk mengetuai kontinjen negara pada upacara perasmian nanti pastinya menjadi satu pengiktirafan besar buatnya yang juga akan turun mencabar dalam acara lompat jauh.

ANDRE (dua dari kiri) menerima Jalur Gemilang daripada Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah. FOTO: MSN MALAYSIA

Ia turut menyaksikannya menjadi atlet lompat kijang negara seterusnya diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang selepas Muhammad Hakimi Ismail membawanya pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Sebagai rekod, lompat jauh bukanlah perkara baharu buat Andre yang memegang rekod kebangsaan acara itu dengan jarak 8.02 meter (m) ketika meraih pingat perak Sukan SEA Manila 2019.

Atlet dari Tenom, Sabah itu cuma tewas 0.01m kepada pemenang pingat emas dari Indonesia, Sapwaturrahman yang melakukan catatan 8.03m sekali gus kekal sebagai rekod Sukan SEA hingga ke hari ini.

Berdasarkan catatan tahunan terbaik (SB) tahun ini, suami kepada bintang skuasy kebangsaan, Aifa Azman itu berada di ranking pertama Asia Tenggara bagi acara lompat jauh dengan jarak 7.76m.

ANDRE bersama barisan atlet pada majlis penyerahan Jalur Gemilang. FOTO: MSN MALAYSIA

Juara edisi terdahulu, Janry Ubas dari Filipina kekal menjadi pencabar terdekat dengan catatan SB 7.64m diikuti rakan senegara Andre, Tan Zhi Hang (SB: 7.62m), Joshua Patorara (Filipina, SB: 7.44m) dan Han Lin Feng (Singapura, SB: 7.46).

Bagi acara lompat kijang, Andre yang memiliki rekod peribadi (PB) 16.51m masih perlu berusaha kerana catatan SB tahun ini 15.98m tidak jauh dengan pencabar seperti jaguh tuan rumah, Nattapong Srinonta dengan SB 16.02m.

Pemenang pingat perak edisi 2023, Ronnie Malipay dari Filipina juga mempunyai SB sekitar Andre iaitu 15.77m, sekali gus menjadikan persaingan pingat emas lompat kijang kali ini dijangka lebih sengit. – PODIUM ON TOUR

SUMBER FOTO – MSN MALAYSIA

Post navigation

Previous: Valor Fencing Academy mula ‘mendunia’
Next: Ijazah di tangan, pemain hoki buru emas Sukan SEA

Related Stories

Armin Zahryl
  • Olahraga

Armin antara harapan Asia Tenggara di Sukan Asia

podiumontour July 13, 2026
Azeem 4x100m
  • Olahraga

Rekod 4x100m kebangsaan bakal pecah?

podiumontour July 12, 2026
Armin Zahryl Rekod Malaysia
  • Olahraga

Armin pecah rekod Malaysia, ketiga terpantas Asia Tenggara

podiumontour July 11, 2026

Recent Posts

  • Armin antara harapan Asia Tenggara di Sukan Asia
  • TUAH maskot Sukan SEA 2027, Sukan Para ASEAN 2027
  • Shafiq Ammar hero Young Tigers di Jepun
  • Rekod 4x100m kebangsaan bakal pecah?
  • Armin pecah rekod Malaysia, ketiga terpantas Asia Tenggara
  • YouTube
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok
  • Threads
© 2026 PODIUM ON TOUR All rights reserved. | MoreNews by AF themes.