AZIMUDDIN (tengah) menjaringkan gol kelima skuad negara dalam kemenangan 5-4 ke atas China dalam aksi pertama ACT di Stadium Hoki Surjit hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
SKUAD hoki senior negara membuka kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India dengan kemenangan 5-4 ke atas China pada aksi di Stadium Hoki Surjit hari ini.
Bagaimanapun, Speedy Tigers yang turun selaku pemenang pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, tidak diberikan laluan mudah oleh China yang memberikan tentangan habis-habisan sepanjang 60 minit permainan.
Ketua jurulatihnya, Brendon Carolan juga tidak begitu gembira dengan keseluruhan prestasi ditampilkan dan menuntut aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya menentang Korea Selatan pada 29 Oktober ini.
“Prestasi yang ditampilkan tidak cukup baik berbanding apa yang kami tunjukkan sebelum ini tetapi perkara paling penting adalah memenangi perlawanan.
“Sudah tentu kami berusaha untuk kembali ke kedudukan ke-12 dunia dan untuk mencapai sasaran itu, kami perlu bermain dengan lebih baik,” katanya.
Suku masa pertama berlangsung dengan penuh menarik sehingga terhasilnya lima gol padang menyaksikan Malaysia mendahului 3-2.
Tiga daripadanya menerusi dua daripada Azrai Aizad Abu Kamal pada minit keempat dan 14 dan Akhimullah Anuar Esook (m-14), manakala dua gol China diraih oleh Wang Yaqi (m-11) serta Ne Moda (m-12).
China yang menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di kedudukan keenam, bangkit membalas dengan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalty (PC) pada minit ke-27 menjadikan kedudukan 3-3.
Di babak kedua, Speedy Tigers kembali bangkit untuk mendahului dua gol dalam tempoh hanya seminit, masing-masing menerusi penalti stroke Faizal Saari dan PC daripada Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-34 serta 35.
China cuba bangkit dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga terhasil gol keempat, sekali lagi daripada Chen Benhai pada minit ke-44, namun ia sudah terlewat untuk menafikan kemenangan 5-4 Malaysia.
“Kami juga perlu memberikan kredit kepada China. Mereka melaksanakan PC dengan sangat baik dan berdepan pasukan yang bermain secara bertahan dalam cuaca panas seperti ini memang sukar.
“Keadaan ini sememangnya menyukarkan kami untuk beraksi. Sekurang-kurangnya kami berjaya mendapatkan keputusan dan saya yakin kami akan tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” jelas Carolan. – PODIUM ON TOUR
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION