FAIZAL menjadi antara sandaran negara di bahagian serangan untuk mencipta jaringan ke atas Perancis malam esok. - MHC
SENTUHAN penyudah tajam Faizal Saari amat diperlukan oleh skuad hoki negara menjelang pertemuan menentang Perancis dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Arena Hoki Belfius, Wavre malam esok.
Kemenangan amat penting buat kedua-dua pasukan untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya selepas masing-masing tewas aksi pertama semalam, Malaysia tumbang 1-5 kepada Jerman sementara Perancis kalah 2-3 di tangan Belgium.
Biarpun tewas, Faizal antara pemain yang menunjukkan prestasi positif apabila variasi pukulan sudut penalti diambilnya berjaya ditampan masuk oleh Azrai Aizad Abu Kamal untuk menghasilkan gol tunggal ke atas Jerman.
Berdasarkan statistik, penyerang prolifik negara itu merupakan satu-satunya pemain negara yang berjaya meledak jaringan dalam tiga pertemuan terakhir Speedy Tigers dengan Perancis.
Ia bermula dengan kekalahan 2-3 kepada Perancis sewaktu Cabaran Juara-Juara 1 2014 yang mana dua gol skuad negara dihasilkan oleh Faizal dan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil.
Faizal juga salah seorang pemain yang meledak gol selain Haziq Samsul, Meor Azuan Hasan dan Razie Rahim ketika menang 4-1 ke atas Perancis pada Semi Final Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pada 2015.
Aksi terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Speedy Tigers tewas 1-3 pada Piala Negara-Negara 2023-2024 yang mana Faizal menjaringkan gol tunggal skuad negara dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Perancis adalah antara pasukan yang cukup meningkat di dunia hingga kini menduduki ranking ke-9 dunia, malah hampir menang ke atas Belgium sebelum tewas 2-3 di saat akhir semalam. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC