MALAYSIA berjaya menutup kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai pasukan kelima terbaik. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
SKUAD Senior Wanita Kebangsaan menepati jangkaan menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai pasukan kelima terbaik selepas menewaskan Thailand 4-0 di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar merasakan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya walaupun berjaya mencapai salah satu sasaran ditetapkan di Sukan Asia.
Kejayaan meraih tempat kelima secara tidak langsung melayakkan Malaysian Tigress ke pusingan Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 akan diadakan tahun depan.
“Pertama sekali, tahniah kepada skuad wanita Malaysia kerana berjaya melayakkan diri ke kelayakan Olimpik. Itu adalah sasaran pertama kami dan kami berjaya mencapainya.
“Padang hoki ini besar dan terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana kejohanan ACT (Trofi Juara-Juara Asia) tidak lama lagi.
“Kami akan bekerja rapat dengan para pemain, mungkin membuat ulang kaji secara berterusan menggunakan rakaman video. Kami mempunyai pasukan sokongan video yang sangat baik dan akan memanfaatkannya,” katanya.
Dalam aksi hari ini, Skuad Senior Wanita Kebangsaan meraih tiga gol pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (m-14, m-18) dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-22.
Baki satu lagi gol Malaysian Tigress diperoleh menerusi jaringan padang penyerang muda berusia 16 tahun, Nur Zariefah Dania Mazlan pada minit ke-53.
Mengulas lanjut, C.R. Kumar berharap tempoh tiga hingga empat minggu selepas pulang daripada Sukan Asia akan dimanfaatkan sebaiknya sebelum turun ke ACT 2026 nanti.
“Kami perlu mengimbangi antara serangan dan pertahanan, meningkatkan keberkesanan pukulan sudut penalti, penguasaan bola dan banyak lagi aspek yang perlu kami perbaiki.
“Kami perlu memastikan pemain memahami dan mengaplikasikannya secepat mungkin untuk digunakan di ACT kerana kejohanan itu hanya membabitkan enam pasukan terbaik.
“Sudah pasti kami akan memberikan yang terbaik di sana dan cuba memenuhi harapan rakyat Malaysia,” jelasnya. – PODIUM ON TOUR
FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION