Skip to content

Podium On Tour

Primary Menu
  • Home
  • Olahraga
  • Hoki
  • Bola Sepak
  • Badminton
  • Sukan Lain
  • XTRA
  • Kenali Kami
  • Hubungi
Light/Dark Button
  • Hoki

Speedy Tigers ke final, selangkah cipta sejarah

podiumontour October 1, 2026 3 minutes read
Sukan Asia

AZRAI (tengah) meraikan jaringannya membantu Malaysia menewaskan Korea Selatan di separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - ASIAN HOCKEY FEDERATION

SKUAD hoki lelaki negara kini hanya selangkah lagi untuk memenangi pingat emas apabila mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk bertemu India pada 3 Oktober ini.

Speedy Tigers sememangnya berada dalam mood terbaik selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan dalam aksi separuh akhir di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini, sekaligus menyaksikan selepas enam perlawanan, Malaysia terus kebal dengan rekod tanpa kalah.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan mengharapkan sokongan padu daripada semua penyokong termasuk para pengkritik dalam misi mencipta sejarah meraih emas pertama Sukan Asia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan positif sepanjang tiga bulan terakhir. Ia sangat bermakna kepada kami, khususnya mereka yang terus bersama pasukan ini melalui saat-saat susah dan senang.

“Bagi kami, ia sesuatu yang baik apabila berjaya mara ke final. Sudah tentu sasaran kami adalah untuk memenangi kejohanan ini.

“Saya fikir kami akan menghadapi final dengan lebih tenang, tanpa terlalu banyak tekanan, selain mendekatinya dengan persediaan taktikal yang baik dan memberikan segala-galanya,” kata Carolan.

Dalam masa sama, beliau turut mendedikasikan kejayaan ke final kali ini buat bekas pengendali terdahulu, Sarjit Singh yang meninggal dunia di usia 63 tahun akibat masalah kesihatan pada Ogos lalu.

Di separuh akhir hari ini, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan menunjukkan karakter pejuang dan mentaliti kemenangan yang cukup tinggi apabila membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-40.

Walaupun Korea Selatan mengikat kedudukan hasil gol padang Lee Gangsan pada minit ke-42, namun ia tidak mematahkan semangat Speedy Tigers untuk terus mengasak kubu pihak lawan.

Hasilnya, Malaysia berjaya meraih penalti stroke yang disudahkan dengan cukup kemas oleh Azrai Aizad pada minit ke-45 dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengulas aksi final bertemu India yang menewaskan Pakistan 4-3 di separuh akhir, Carolan percaya lawan di ranking kelapan dunia itu lebih tertekan kerana status juara bertahan.

“India adalah pasukan pilihan. Mereka pasukan hoki yang sangat bagus. Dengan pengalaman beraksi dalam Pro League, mereka sudah tentu mampu menghasilkan keputusan yang baik.

“Kami menyedari perkara itu, tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah memastikan kami bersedia dari sudut taktikal dan bermain dengan lebih tenang tanpa terlalu banyak tekanan,” jelasnya.

Speedy Tigers tidak pernah memenangi pingat emas dengan pencapaian terbaik Sukan Asia adalah perak pada edisi 2010 dan 2018.

Jika menang, Speedy Tigers akan menyambar tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus menamatkan penantian sejak kali terakhir layak pada edisi Sydney 2000. – PODIUM ON TOUR

FOTO: ASIAN HOCKEY FEDERATION

Post navigation

Previous: Malaysia ‘sebelah kaki’ ke Kelayakan Olimpik LA28
Next: Malaysian Tigress kelima terbaik Sukan Asia

Related Stories

SOJC
  • Hoki

SOJC: 15 tahun menanti, ini masanya julang piala

podiumontour October 24, 2026
SOJC
  • Hoki

SOJC: Young Tigers belasah Kanada, kekal rekod 100 peratus

podiumontour October 23, 2026
SOJC
  • Hoki

SOJC: Adam Ashraf sah beraksi di final

podiumontour October 22, 2026

Recent Posts

  • SOJC: 15 tahun menanti, ini masanya julang piala
  • SOJC: Young Tigers belasah Kanada, kekal rekod 100 peratus
  • SOJC: Adam Ashraf sah beraksi di final
  • Presiden MHC cabar Speedy Tigers kalahkan India
  • Speedy Tigers mahu perbaiki pencapaian di ACT 2026
  • YouTube
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok
  • Threads
© 2026 PODIUM ON TOUR All rights reserved. | MoreNews by AF themes.