MALAYSIAN TIGRESS akan bermain tiga lagi perlawanan menenang Wales pada 25, 26 dan 29 Julai sebelum menutup siri Jelajah Eropah. - MHC
SKUAD hoki wanita kebangsaan berani mengambil risiko dengan menentang lawan yang jauh lebih kuat demi memastikan mereka bersedia sepenuhnya sebelum ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Disebabkan itu, ketua jurulatih Malaysian Tigress, C.R. Kumar amat gembira dengan hasil yang diperolehi anak-anak buahnya walaupun keputusan tidak memihak mereka menentang Scotland dan Ireland sebelum ini.
Malah, beliau turut berpandangan para pemain sebenarnya menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan sepanjang empat aksi pertama dalam siri Jelajah Eropah.
“Jika mahu menjadi lebih baik, perlu berani mengambil risiko. Atas kepentingan persiapan ke Sukan Asia, kami memilih Scotland dan Ireland kerana tahap mereka ketika ini lebih tinggi berbanding beberapa jaguh Asia seperti Jepun dan Korea.
“Pengalaman ini membuka mata pemain mengenai tuntutan sebenar apabila berdepan pasukan elit. Mereka kini lebih memahami tahap kecergasan, kualiti permainan dan disiplin taktikal yang diperlukan untuk bersaing di pentas tertinggi.
“Perlawanan kedua menentang Ireland juga menunjukkan kami berjaya merapatkan jurang dalam tempoh yang singkat dan itu satu perkembangan positif,” katanya.
Corak permainan di Eropah jauh berbeza berbanding Asia antaranya tempo lebih pantas, fizikal lebih keras serta tekanan tinggi yang memerlukan tindak balas segera daripada setiap pemain.
Justeru, pengalaman menentang dua lawan yang akan bermain di Piala Dunia Hoki Wanita bulan depan itu perlu diterjemahkan dalam tiga aksi terakhir menentang Wales di Cardiff bermula 25 Julai, 26 Julai dan 29 Julai ini.
“Seperti yang kami rancang, tujuan ke Eropah untuk merasai sendiri suasana dan cabaran permainan yang tiada di Asia. Kkami bertemu lawan yang benar-benar berada dalam tahap terbaik ketika ini.
“Walaupun keputusan tidak memihak, ada ketikanya kami mampu memberi tentangan dan mengawal permainan. Semua ini menjadi pengajaran yang sangat berguna sebelum menghadapi Sukan Asia.
“Kami mempunyai enam minggu lagi untuk mencapai kemuncak prestasi sebelum melangkah ke Jepun. Saya percaya pengalaman sepanjang jelajah ini akan menjadi bekalan yang sangat berharga buat pemain,” jelasnya. – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – MHC