ASHRAFEEL (tengah) pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir MJHL 2026. - MHC
PEMILIHAN ke skuad hoki remaja negara bagi saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 membawa makna tersendiri buat Muhammad Ashrafeel Iman Mohd Rizal untuk merealisasikan salah satu impian arwah bapanya yang meninggal dunia pada Jun lalu.
Di sebalik kehilangan itu, Ashrafeel, 18, kini memperoleh peluang yang cukup berharga apabila terpilih mewakili negara dalam SOJC 2026, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.
“Mak saya ada cakap dia terharu apabila saya dapat peluang ke SOJC ini.
“Waktu arwah bapa masih ada, dia memang suruh saya berusaha untuk pergi ke skuad junior. Selepas bapa meninggal dunia, barulah saya mula meningkat sedikit demi sedikit sehingga dapat peluang ini,” katanya kepada Podium On Tour.
Menurutnya, segalanya bermula apabila dia dipanggil menyertai latihan skuad remaja baru-baru ini sebelum terpilih ke SOJC untuk membuat debut menentang China di Stadium Hoki Taman Daya, Johor malam ini.
“Saya memang cuba untuk terpilih sebab saya belum pernah menyarung jersi skuad remaja Malaysia. saya fikir tak salah beri yang terbaik, kalau ada rezeki, adalah peluang.
“Jadi apabila nama saya diumumkan dalam senarai 18 pemain yang dipilih, memang saya terkejut,” jelas tonggak skuad hoki SSTMI itu.
Ashrafeel pernah mewakili negara di Piala Remaja Asia Bawah 18 Tahun (B18), namun pemilihan ke SOJC memberikan pengalaman berbeza kerana berpeluang membawa cabaran Malaysia di peringkat umur lebih tinggi, B21.
Malah, pemilihan kali ini menjadi satu permulaan yang mahu dimanfaatkan sepenuhnya, apatah lagi dengan cabaran lebih besar menanti pada tahun depan menerusi Piala Dunia Remaja 2027
Biarpun boleh beraksi di bahagian pertahanan, namun Ashrafeel yang juga dragflicker, akan diturunkan di posisi serangan dan membuka lebih banyak ruang untuknya memburu jaringan.
“Saya mahu jadi penyerang yang berbahaya. Walaupun perlawanan susah, saya mahu cuba cari juga gol dalam apa jua pun situasi seperti Azrai (Aizad Abu Kamal) selalu buat.
“Impian saya mahu merasai bermain di final. Kalau dapat menjaringkan satu atau dua gol sebagai permulaan, itu pun sudah cukup baik,” jelasnya yang turut muncul penjaring terbanyak Kejohanan Antarabangsa Hoki 5s Seoul 2026. – PODIUM ON TOUR
FOTO – MHC