NABIL (tengah) meraikan jaringan keduanya ketika menewaskan China 3-0 hari ini.
DUA gol Nabil Irfan Yusof dan satu daripada Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill memastikan permulaan cemerlang skuad hoki remaja negara di pentas Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan menewaskan China 3-0 hari ini.
Ketua jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati, namun merasakan anak-anak buahnya mampu menang dengan jumlah jaringan dalam aksi di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru itu.
Baginya, barisan pemain melepaskan tiga atau empat peluang terhidang termasuk satu penalti stroke daripada Muhammad Safwan Salihe yang berjaya diselamatkan penjaga gol China, Zhang Zhiyuan dalam babak pertama.
“Masalah ini daripada Piala Remaja Asia lagi. Ini antara kelemahan yang kita perlu baiki dan kalau berjaya, kita mungkin boleh pergi lebih jauh lagi dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
“Saya gembira dari segi circle penetration tetapi tidak dalam aspek penyudah tak cukup kuat.
Sebab jumlah jaringan amat penting kalau kita seri, itu yang saya sedikit bimbang, namun, saya gembira kita berjaya dapat tiga mata,” katanya pada sidang media hari ini.
Young Tigers berjaya meraih dua gol daripada tujuh pukulan sudut penalti yang diraih hari ini menerusi Nabil Irfan pada minit kelima dan 28 selain satu jaringan padang daripada Aferull ketika aksi berbaki tiga minit lagi untuk tamat.
Perlawanan kedua skuad muda negara pada Selasa ini adalah bertemu salah satu pasukan pilihan, Jepun yang menewaskan Kanada 8-1.
Sehubungan itu, Nor Saiful menggesa barisan pemainnya meningkatkan ketajaman penyudah untuk menumbangkan Jepun bagi mencerahkan lagi peluang Malaysia ke pentas final nanti.
“Kalau seri mungkin susah sebab Jepun dah jaring lapan gol dan kita pula tiga hari ini. Jadi kita kena menang dengan Jepun,” jelasnya.
Satu lagi aksi berlangsung hari ini menyaksikan Pakistan menang 6-3 ke atas Kanada, sekali gus merekodkan kemenangan kedua selepas mereka menewaskan China 8-3 aksi pertama semalam. – PODIUM ON TOUR