FAIZAL (tengah) meledak hatrik menewaskan Uzbekistan 7-0 dalam aksi pertama Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya hari ini. - ASIAN HOCKEY FEDERATION
HATRIK daripada Faizal Saari menjadi permulaan sempurna buat skuad hoki lelaki negara pada kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini.
Ia sekali gus menamatkan penantian lebih dua tahun mesin gol Speedy Tigers itu untuk kembali meledak hatrik di pentas antarabangsa selepas kali terakhir dia melakukannya ketika menentang Austria pada 9 Jun 2024.
Ketika itu, Faizal menjaringkan dua gol padang dan satu pukulan sudut penalty untuk menewaskan Austria 5-4 dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan Piala Negara-Negara FIH 2023-24.
Setelah lama menanti, pemain yang pernah digelar antara wonderkid dunia itu, menamatkan penantian itu dengan tiga gol, satu pukulan sudut penalti (PC), satu jaringan padang (FG) dan satu penalti stroke (PS) ke atas Uzbekistan.
Ia juga perlawanan antarabangsa keempat berturut-turut Faizal berjaya meledak gol selepas dia melakukannya dalam tiga aksi terakhir di Piala Dunia 2026, menentang Ireland, Afrika Selatan dan Wales.
Pastinya ia melonjakkan motivasi Faizal untuk membantu Speedy Tigers mencapai sasaran dalam penampilan terakhirnya di Sukan Asia iaitu mara ke final dan kemudian memenangi pingat emas.
Sebagai rekod, Faizal pernah bersara selama sembilan bulan sejak Februari 2025 sebelum kembali memperkuatkan Speedy Tigers bermula November 2025.
Baki empat lagi gol Speedy Tigers diperoleh menerusi Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11 (PC), Azimuddin Syakir Kamaruddin (m-36, PC), Azrai Aizad Abu Kamal (m-59 FG) dan Faiz Helmi Jali (m-60 FG).
Selepas ini, Malaysia akan meneruskan aksi kedua Kumpulan B menentang Oman pada Selasa ini diikuti Thailand (24 September) sebelum bertemu dua lawan sebenar iaitu Pakistan (26 September) dan China (28 September). – PODIUM ON TOUR
KREDIT FOTO – ASIAN HOCKEY FEDERATION