ARFAH (kanan) menjadi sandaran negara pada Kelayakan Piala Dunia di Chile nanti. - MHC
TIADA yang mustahil buat skuad hoki wanita negara mencipta kejutan pada Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 di Santiago, Chile dari 2-8 Mac ini.
Dalam aksi Kumpulan B, Malaysian Tigress, No.22 dunia, akan bertemu pasukan yang regular beraksi di pentas Sukan Olimpik dan Piala Dunia, Jepun (No.12 dunia).
Bekas naib juara edisi Piala Dunia 2018, Ireland (No.13 dunia) juga antara lawan bakal dihadapi selain Kanada ranking ke-22 dunia.
Penyerang Malaysian Tigress, Siti Nor Arfah Mohd Nor enggan mudah menyerah kalah, sebaliknya tekad memberikan aksi terbaik kerana ini adalah kali pertama Malaysia beraksi di peringkat kelayakan akhir.
“Apa pun jadi, saya janji bagi yang terbaik, main dengan hati, disiplin dan doa mak abah tak pernah putus. Semoga Allah kuatkan mental, fizikal dan tenangkan hati di atas padang. Moga ada rezeki untuk melangkah lebih jauh.
“Ia sememangnya sukar tapi kami juga buat persediaan, tengok corak permainan pihak lawan dan kami fokus untuk baiki beberapa kelemahan sebelum berjumpa lawan nanti.
“Walaupun kelayakan yang penuh tekanan, dalam hati tetap bersyukur sebab dapat lawan pasukan seperti Kanada & Ireland. Inilah detik untuk ukur tahap sendiri dan belajar jadi lebih baik,” katanya kepada Podium on Tour.
Cabaran sukar juga menanti Malaysian Tigress yang akan berlepas ke Santiago pada 25 Februari ini untuk menyesuaikan diri dengan faktor cuaca dan perbezaan masa (11 jam lewat dari waktu Malaysia). – PODIUM ON TOUR
Jadual Malaysian Tigress dalam Kumpulan B
1 thought on “Jiwa besar demi lencana di dada”
Comments are closed.